Bangunan Kementerian Luar Negeri

PUTRAJAYA – Wisma Putra mengadakan perbincangan susulan dengan Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia bagi mendapatkan penjelasan lanjut ekoran beberapa laporan media yang memetik kenyataan beliau baru-baru ini berhubung isu pekhimat domestik Indonesia (PDI) di Malaysia.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, perbincangan pertama telah diadakan di Putrajaya pada 16 Februari lalu.

“Persefahaman telah dicapai supaya kedua-dua pihak perlu terus mengambil pendekatan positif dan konstruktif dalam mengendalikan isu-isu berkaitan pengambilan dan perlindungan PDI.

“Sebarang isu yang timbul akan disalurkan melalui kementerian/agensi kerajaan yang berkaitan,” kata Wisma Putra di sini.

Menurut Wisma Putra, langkah sedemikian adalah penting bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Jelasnya, perbincangan kali ini turut menyentuh status rundingan Memorandum Persefahaman (MoU) Pengambilan dan Perlindungan PDI di antara Malaysia dan Indonesia, serta pendekatan dan hala tuju edua-dua pihak ke arah memuktamadkan rundingan dan pemeteraian MoU berkenaan dalam masa terdekat.

“Langkah ini bagi memastikan proses pengambilan PDI diatur urus dengan baik dan isu perlindungan mereka terus diberi perhatian utama mengikut ketetapan dasar dan perundangan yang berkuat kuasa di kedua-dua negara.

“Pendekatan positif dan konstruktif dalam isu pengambilan dan perlindungan PDI dapat
memanfaatkan kedua-dua pihak dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan hubungan akrab dan komprehensif di antara Malaysia dan Indonesia,” tegas Wisma Putra lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast