KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) hari ini mengumumkan tiga lagi calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, dua daripadanya adalah pengasas parti itu dan seorang lagi ialah pengasas MUDA Johor.
“Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, kami calonkan Naib Presiden MUDA, Lim Wei Jiet, calon bagi kerusi Bukit Kepong adalah pengasas bersama MUDA, Afiqah Zulkifli sementara DUN Bukit Permai pula pengasas MUDA Johor, Azrol Rahani,” katanya ketika mengumumkan ketiga-tiga calon itu di Segamat, hari ini.
Ketiga-tiga kerusi itu adalah sebahagian daripada enam kerusi yang diberikan Pakatan Harapan (PH) menerusi rundingan antara DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan MUDA.
Tiga lagi kerusi adalah Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa.
Terdahulu, MUDA mencalonkan Setiausaha Agungnya, Amira Aisya Abd Aziz sebagai calon pertama parti itu di PRN Johor.
Amira Aisya diletakkan untuk bertanding di DUN Puteri Wangsa seperti mana yang diumumkan oleh Syed Saddiq pada 14 Februari lalu.
Pengumuman yang dilakukan Syed Saddiq belum lagi menyaksikan MUDA dan PH bertembung setakat ini.- MalaysiaGazette