Mohd Fauzi Solehon

MELAKA – Kira-kira 40 nelayan di Pengkalan Nelayan Tanjong Kling, di sini, yang mengalami kerugian kerosakan peralatan akibat pencemaran minyak diesel di Pelabuhan Tanjung Bruas 17 Januari lalu boleh membuat tuntutan ganti rugi.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohd Fauzi Solehon berkata, ia termasuk kerugian pukat hanyut yang rosak yang telah disahkan berpunca daripada kecuaian kapal di pelabuhan berkenaan.

“Kita minta pada mana-mana nelayan yang mana peralatan tangkapan ikan mereka rosak seperti pukat hanyut boleh buat laporan polis dahulu.

“Seterusnya, kita akan bawa laporan itu kepada Jabatan Laut untuk membuat tuntutan ganti rugi mengikut amalan prosedur biasa sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Pelepasan Benih Ikan Ke Perairan Umum dan Penyerahan Lesen Sampan Khas Negeri Melaka di Sungai Duyong, Kampung Kandang, di sini, hari ini.

Program dirasmikan Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Rahmad Mariman.

Mengulas lanjut Mohd Fauzi berkata, prosedur tuntutan ganti rugi terbabit adalah amalan biasa dilakukan sebelum ini sekiranya terdapat bukti kemalangan atau kecuain berpunca daripada kapal yang berlabuh di pelabuhan berkenaan.

“Sekiranya ada bukti, kita boleh minta ganti rugi kepada syarikat perkapalan atau pihak berkuasa pelabuhan terbabit,” katanya.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan 40 nelayan di Pengkalan Nelayan Tanjong Kling mendakwa kehilangan hasil sehingga 70 peratus sehari sejak Jumaat lalu yang dipercayai berpunca daripada pencemaran tumpahan minyak diesel kapal kargo di kawasan berkenaan.

Selain kehilangan pendapatan harian, nelayan juga terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit apabila pukat hanyut yang digunakan rosak akibat terkena pencemaran diesel. – MalaysiaGazette