Distinguished Professor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin political debate debates election candidates
Distinguished Professor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin

KUALA LUMPUR – Calon-calon pilihan raya boleh menggunakan platform jualan dalam talian seperti Shoope dan Lazada sekiranya mahu berdebat berkaitan isu yang mahu diperjuangkan kepada rakyat.

Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Porf. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin membuat cadangan sinis itu kerana calon yang bertanding hanya mahu mencari populariti.

“Perdebatan adalah untuk mendapatkan perhatian. Mendapatkan orang ramai tengok, orang suka awak, tak suka awak. Ini semua promosi. Tanya Shoppelah, Shoppe boleh buat. Lazada boleh buat perdebatan ini. Mereka akan suka kerana akan popular dari segi tontonan.

“Jadi, saya cadangkan kita swastakan debat politik di Malaysia menggunakan saluran Shoppe dan Lazada. Cuba tengok bagaimana sambutan. Tak terfikir ke. Semua ini nak cari duit ni. Pada saya ini cara yang terbaik. Adil,” katanya.

Dr. Shamsul Amri menjawab soalan daripada salah seorang audien Siri Wacana KITA Resensi Buku: Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Tadbir dan Menang yang disiarkan melalui platform Zoom.

Dr. Shamsul Amri Baharuddin

Buku lebih 700 muka surat itu ditulis secara bersama oleh bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan bekas wartawan Dr. G. Manimaran.

Selain Dr. Shamsul Amri turut dijemput untuk membuat ulasan mengenai buku tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Pensyarah Pusat Kajian Media dan Komunikasi UKM Prof. Madya Dr Chang Peng Kee.

Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman

Sementara itu Abdul Rashid berkata, isu mengenai debat antara 49 cadangan yang terdapat dalam laporan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) yang telah ditubuhkan ketika Pakatan Harapan memerintah.

Beliau yang merupakan pengerusi jawatankuasa itu berkata, debat antara calon perdana menteri daripada parti-parti yang bertanding amat sesuai untuk diadakan.

“Mengenai debat, kita ada cadangkan dalam laporan ERC. Memang kita mahu. Kalau hendak jadi perdana menteri dan ada pesaing jadi PM.

“Malah di Johor ada orang sebut orang ini hendak jadi MB. Biar mereka duduk bersama, kita beri satu topik yang relevan kepada pembangunan masyarakat. Minta mereka bahaskan dan itu amat sesuai pada zaman kita kerana literasi kita amat tinggi 95 peratus.

“Dan semua orang tunggu benda macam ini, mereka tengok calon yang berkeupayaan, yang mempunyai pemikiran sebagai pemimpin. Saya amat setuju,” katanya.

Manakala Peng Kee pula menyarankan agar parti-parti politik kecil diberikan ruang dan liputan dalam media massa.

Menurutnya, perkara itu berlaku disebabkan parti dominan mempunyai pemilikan dalam organisasi media.

“Saya nampak memang selalunya (ruang dan liputan) telah didominasi oleh parti-parti yang mana ada pemilikan organisasi media.

Buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Tadbir dan Menang dijual pada harga RM140 senaskah.

Dibahagikan kepada tiga komponen penting itu merupakan satu-satunya naskah lengkap menjelaskan undang-undang dan perjalanan pelaksanaan pilihan raya di Malaysia yang keseluruhannya mengandungi 30 proses.

Selain mengandungi 80 gambar buku tersebut turut memuatkan carta lengkap keputusan dan analisis semua pilihan raya umum yang telah berlangsung di Malaysia.

Buku tersebut amat sesuai untuk dijadikan rujukan oleh parti politik, wakil rakyat, calon bertanding, pengundi, jentera pilihan raya, petugas pilihan raya dan penggubal serta pembuat dasar.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast