Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2021 sebanyak 3% oleh YBhg. Datuk Wan Saiful Wan Jan, Pengerusi PTPTN. Turut hadir Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi tahun 2021 sebanyak tiga peratus.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata agihan ini membabitkan anggaran peruntukan RM206.25 juta yang akan memberi manfaat kepada 5.24 juta pendeposit akaun SSPN.

Jelas Wan Saiful, dengan agihan itu ia menjadikan jumlah keseluruhan agihan dividen adalah RM1.06 bilion sejak Simpan SSPN diperkenalkan.

“Kadar dividen 3 peratus yang diberikan ini adalah berdasarkan kepada pulangan bersih pelaburan yang telah dibuat atas deposit yang diterima oleh PTPTN.

“Pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan masing-masing melalui portal rasmi PTPTN mulai 25 Februari depan,” katanya selepas mengumumkan dividen Simpan SSPN 2021 serta melancarkan Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2022 secara langsung di Facebook, hari ini. Hadir sama adalah Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

YBhg. Datuk Wan Saiful Wan Jan, Pengerusi PTPTN dan Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN bergambar bersama dengan replika Dividen 3% dan Ganjaran Kesetiaan 1%.

Dalam pada itu, PTPTN turut mengumumkan kadar dividen 1 peratus bagi ganjaran kesetiaan 2022 istimewa buat pendeposit setia Simpan SSPN.

Ganjaran itu diberikan kepada pendeposit yang membuat akaun Simpan SSPN Prime sejak 2004 sehingga 31 Disember 2018 dengan jumlah minimum sebanyak RM500.

Wan Saiful turut berkata dividen yang diberikan kepada pendeposit bagi tahun 2021 masih lagi kompetitif berbanding keuntungan akaun semasa dan akaun simpanan tetap.

“Sekiranya dilihat kadar 3 peratus tersebut berbanding kadar dasar semalam yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia pada 1.75 peratus dan juga kadar keuntungan faedah kepada produk simpanan yang ditawarkan oleh bank tempatan bagi 2021, kebanyakannya antara 1.5 hingga 2.2 peratus.

“Sesungguhnya produk Simpan SSPN ini masih lagi menawarkan kadar pulangan yang menarik dan kompetitif,” jelas Wan Saiful lagi.

Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2021 dan Pelancaran Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2022 dengan menyentuh pada skrin paparan yang disediakan.

Untuk rekod, selain dividen, Simpan SSPN turut menawarkan pelbagai keistimewaan kepada pendeposit seperti pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful dan geran sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak. Ini bermakna, pendeposit Simpan SSPN sebenarnya akan menikmati keuntungan yang berganda.

Sehingga 2021 lalu, jumlah deposit Simpan SSPN bagi tahun 2021 adalah berjumlah RM3.01 bilion atau 167.08 peratus berbanding dengan sasaran RM1.8 bilion.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan deposit Simpan SSPN sehingga 31 Disember 2021 adalah RM10.88 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast