Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berucap pada Majlis Sambutan Hari Keselamatan Internet 2022 di Hotel Marriott, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 22 FEBRUARI 2022.

PUTRAJAYA – Malaysia bakal hilang pelabur baharu sekiranya pelaksanaan perkhidmatan teknologi mudah alih generasi kelima (5G) mengambil masa yang lama.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, berikutan itu pelaksanaan perkhidmatan 5G perlu dilengkapkan dalam tempoh tiga tahun.

“Jadi sebenarnya kita tidak ada pilihan. 5G mesti dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun dan kita mesti capai 80 peratus di kawasan yang berpenduduk,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Keselamatan Internet 2022.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada matlamat untuk mencapai 36 peratus capaian perkhidmatan 5G di kawasan berpenduduk pada hujung tahun ini tercapai.

Jelas Annuar, pelaksanaan rangkaian internet yang lebih maju dan berteknologi tersebut boleh dicapai sekiranya isu-isu berbangkit, termasuk berkaitan Kedudukan Digital Nasional Berhad (DNB) dan pemilihan rangkaian borong tunggal (SWN), diselesaikan segera.

“Boleh dicapai kalau kita pastikan kita urus perkara-perkara yang membawa kepada ketidaktentuan pada masa ini iaitu politik, isu polemik Kedudukan Digital Nasional Berhad (DNB) dan isu telco yang mesti diselesaikan segera.

“Kalau lagi lama tunggu, akan berlaku kelewatan. Tolong ingat kita ambil masa lapan tahun untuk 4G sebelum ini,” tambahnya.

Baru-baru ini Annuar berkata, kedudukan DNB dan isu pemilihan SWN dalam pelaksanaan perkhidmatan 5G yang menjadi polemik akan diselesaikan pada awal Mac ini. – MalaysiaGazette