Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir bagi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ 22FEBRUARI 2022.

PUTRAJAYA – Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan senarai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam satu majlis di negeri itu pada 24 Februari ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dibuat selepas pihaknya telah memuktamadkan pembahagian kerusi di antara parti komponen PN pada minggu lepas.

“(Pembahagian kerusi PRN Johor) kita sudah selesai antara parti-parti dalam PN. Malahan nama-nama calon pun sudah dikemukakan, kita dalam peringkat akhir menunggu dan kita akan umumkan pada 24 Februari ini.

“(Pengumuman calon) akan dibuat secara rasmi di Johor nanti Insya-Allah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu merangkap Pengarah Pilihan Raya PN Negeri Johor, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pelbagai aspek termasuk memastikan calon bakal bertanding bebas sebarang rekod jenayah perlu diambil kira sebelum dimuktamadkan.

Selain itu, pihaknya perlu memastikan senarai calon PN itu diterima parti komponen sebelum layak mewakili parti itu bertanding bagi setiap Dewan Undangan Negeri Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast