KUALA LUMPUR – MIC Johor menuntut untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu yang merupakan bekas kerusi pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua MIC Bahagian Kulai, S. Suppayah berkata, MIC sebulat suara memutuskan hasrat memohon kerusi DUN Bukit Batu pada mesyuarat dua hari lalu.
“Kesemua sayap MIC, Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri sedia menghadapi cabaran ini dengan jenteranya bersama BN Kulai dan terus membantu masyarakat India di semua DUN dalam Parlimen Kulai,” katanya lapor Utusan Online.
Beliau berharap, Barisan Nasional (BN) memberi MIC peluang bertanding di kawasan itu, sekali gus menunjukkan aspirasi Keluarga Malaysia dan konsep Bangsa Johor yang disanjungi di Parlimen Kulai.
“Walaupun kerusi DUN Bukit Batu dianggap sebagai kawasan mencabar, kami membuat tuntutan ini atas dasar tanggungjawab disempurnakan MIC Kulai membantu masyarakat setempat bersama BN Kulai dan penyelaras DUN, Datuk Mohd Jafni.
“Pengundi India di DUN Bukit Permai dan DUN Senai masing-masing seramai 5,216 (13.26 peratus) dan 7,996 (12.64 peratus), dengan peratus pengundi India seramai 3,790 pengundi atau 8.25 peratus, MIC yakin akan memenangi DUN Bukit Batu dengan kerjasama parti komponen BN.
“MIC juga mempunyai hubungan baik bersama Ketua BN Kulai, Datuk Zainal Abidin yang mengetahui tahap perkhidmatan MIC di Kulai, khususnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Beliau menjelaskan, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DUN Bukit Batu dimenangi Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah dengan majoriti 10,057 menewaskan calon BN-MCA, Teo Lee Ho (7,048 undi) dan calon PAS, Juwahir Amin (1,888 undi).
“DUN Bukit Batu terletak di dalam Parlimen Kulai yang dimenangi Teo Nie Ching dari DAP dengan undi sebanyak 55,312,” jelas beliau. – MalaysiaGazette