Rahadiazli Rahalim. Foto Faecbook MFL.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain menyifatkan penjaga gol Rahadiazli Rahalim kini berada di landasan yang terbaik dalam mendapatkan kembali kecergasan selepas satu musim tidak beraksi.

Jelasnya, penjaga gol berusia 21 tahun ini masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri di atas padang walaupun dia sudah pulih sepenuhnya susulan kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) yang dihadapinya pada awal musim lalu.

Namun, dengan beberapa aksi perlawanan persahabatan yang telah dihadapinya sebelum ini menyaksikan Rahadiazli semakin menunjukkan peningkatan dan Nafuzi percaya dia akan mampu untuk kembali bangkit pada musim ini.

“Saya tengok dia memang sudah pulih 100 peratus dan semakin menunjukkan peningkatan positif setakat ini tetapi disebabkan dia sudah satu musim tidak bermain, kita tidak mahu tergesa-gesa sangat untuk memaksa dia beraksi sebab risau takut apa-apa berlaku.

“Kita memang nak gunakan khidmat dia pada musim ini tetapi kena tengok juga dari masa ke semasa bagaimana dia kembali untuk mendapatkan momentum atas padang.

“Tetapi saya masih ada Suhaimi Hussin dan Sharmiza Yusoff, jadi kita punya banyak pilihan dan saya tidak terlalu risau kalau kita kekurangan penjaga gol”, jelasnya kepada Liga Bola Sepak Malaysia hari ini.

Dalam masa sama, Suhaimi yang diberi tanggungjawab menggalas tugas selaku penjaga gol utama pada musim lalu mengakui rasa tercabar dengan kehadiran semula Rahadiazli.

Namun, dia menganggap ini akan menjadi persaingan yang sihat untuk mereka sama-sama merebut tempat dalam usaha membantu pasukan berada di kedudukan cemerlang pada musim ini.

“Memang tidak dapat dinafikan rasa tercabar juga tetapi saya lihat situasi ini dari sudut positif untuk kita sama-sama bersaing secara sihat.

“Untuk diri saya sendiri, saya mengakui semakin yakin dan berani selepas satu musim diberi kepercayaan dan mahu melakukan yang lebih baik untuk musim ini.

“Dengan beberapa perlawanan persahabatan yang ada setakat ini benar-benar membantu kami semua untuk mencipta keserasian dan lebih bersedia untuk sepak mula Liga Super”, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast