Cosmetic entrepreneur, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman or Nur Sajat. foto arkib MalaysiaGazette
Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman

KUALA LUMPUR – Usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman mendakwa sudah berjaya menukar status jantinanya kepada wanita selepas lima bulan menetap di Australia.

Muhammad Sajjad atau lebih dikenali dengan nama Nur Sajat, 35, meluahkan rasa gembira apabila keiinginannya diluluskan kerajaan negara kangaru itu.

“Saya gembira semuanya sudah selesai. Saya selesa kini menjadi seorang wanita.

“Negara ini (Australia) lebih memahami gender saya,” katanya dalam satu perkongsian di media sosial.

Sajjad menambah, dia sudah lama mengidamkan untuk menukar status jantina dalam dokumen pengenalan diri sejak berada di Malaysia lagi.

Dia turut meluahkan rasa bangga dengan diri sendiri dan mahu diterima secara baik oleh orang ramai.

“Kini saya rasa lebih bebas dan boleh jadi diri saya yang sebenar. Saya bangga dengan diri sendiri. Ini adalah saya, Nur Sajat, rasa seperti ‘dilahirkan’ semula.

“Saya memang mahu tukar status jantina, saya nak bahagia dan mahu orang terima saya,” katanya.

Dalam perkongsian sama, Sajjad turut menjawab soalan pengikut sama ada dia akan menukar namanya atau tidak.

Namun katanya, dia lebih selesa dan bangga dengan nama Nur Sajat.

“Saya bangga dengan nama Nur Sajat. Satu dunia kenal nama ini. Nama ini satu dalam sejuta tau,” ujarnya.

Untuk rekod, Sajjad memilih memulakan kehidupan baharu di Australia sejak Oktober tahun lalu kerana merasa tidak selamat tinggal di Malaysia.

Sebelum ke Australia, Sajjad pernah melarikan diri ke Thailand namun ditahan oleh pihak imigresen pada 8 September 2021 kerana memiliki pasport tidak sah.

Ketika itu Sajjad mengemukakan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian (UNHCR) dan memaklumkan dia mahu berhijrah ke Australia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast