Dua produk rumusan bayi keluaran Abbott Nutrition’s Sturgis dari Amerika Syarikat (AS) dikesan mengandungi bakteria Cronobacter Sakazakii dan Salmonella Newport.

KUALA LUMPUR – Dua produk rumusan bayi keluaran Abbott Nutrition’s Sturgis dari Amerika Syarikat (AS) dikesan mengandungi bakteria Cronobacter Sakazakii dan Salmonella Newport.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklum laporan oleh pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, AS (USFDA) mengenai isu penemuan bakteria berkenaan dalam rumusan bayi keluaran syarikat itu.

Menurut beliau, hasil siasatan KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan mendapati hanya dua produk rumusan bayi yang terlibat iaitu Alimentum (400 gram) dan Human Milk Fortifier (0.9gx50 sachets).

Katanya, produk itu dikesan dengan nombor batch yang dimulai dengan digit 22 hingga 37 pada kod bar di bekas bernombor K8, SH atau Z2 serta mempunyai tarikh luput 1 April 2022 dan seterusnya.

“KKM juga telah mengenakan tindakan penolakan (auto-rejection) di semua pintu masuk negara ke atas produk terlibat.

“Selain itu, KKM juga telah menghubungi pihak syarikat Abbott Laboratories (M) Sdn. Bhd. dan mengesahkan bahawa pihak syarikat telah membuat penarikan balik (recall) produk terlibat yang berada di pasaran tempatan secara sukarela serta mengambil tindakan proaktif dengan menghubungi peruncit, pengedar dan insitusi yang membeli produk berkenaan agar menghentikan penjualan produk itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Dr. Noor Hisham meminta semua peniaga termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok produk berkenaan hendaklah menghentikan serta-merta penjualan dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.

Tambahnya,ibu bapa dan penjaga pula dinasihatkan untuk mengenal pasti batch kod rumusan bayi berkenaan serta berhenti menggunakan produk yang terlibat dan memantau kesihatan bayi serta segera mendapatkan rawatan sekiranya bayi mempunyai gejala selepas meminum rumusan susu bayi tersebut.

Jelasnya lagi, bakteria Cronobacter Sakazakii terdapat secara meluas di persekitaran dan boleh hidup pada keadaan kering seperti di dalam rumusan bayi.

“Jangkitan Cronobacter boleh menyebabkan meningitis atau sepsis, bagaimanapun ia jarang berlaku dan gejala yang ditunjukkan oleh bayi adalah seperti demam, tiada selera makan atau kelesuan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast