PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) menyokong cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membenarkan murid-murid menggunakan pakaian sekolah kebangsaan ke sekolah agama.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pihaknya tidak menolak cadangan yang dapat menyelesaikan masalah beg berat dalam kalangan pelajar dan dalam masa yang sama tidak mahu ia menjejaskan pembelajaran sekolah agama.
“Apa-apa keputusan yang boleh menyelesaikan masalah yang berbangkit peringkat JAKIM, kita sangat bertolak ansur apa sahaja cadangan daripada pihak KPM kita akan sokong asalkan tidak menjejaskan dari sudur pembelajaran Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA),” katanya ketika menghadiri Majlis Pertemuan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama influencer Media Baharu di sini hari ini.
Tambah Ahmad Marzuk, perbincangan antara JAKIM dengan KPM berhubung cadangan berkenaan masih berlangsung dan keputusan dijangka dibuat dalam masa yang terdekat.
Baru-baru ini, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kementeriannya sedang menangani beberapa punca isu beg sekolah berat yang dibangkitkan baru-baru ini.
Ujarnya. antara diberi perhatian adalah jumlah mata pelajaran yang diajar pada setiap hari dan pakaian sekolah kebangsaan ke sekolah agama.- MalaysiaGazette