Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA- Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas tidak terkecuali daripada tindakan jika melalukan perbuatan bercanggah dengan kedaulatan undang-undang negara.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahahir berkata, siasatan perlu dijalankan sekiranya terdapat kes ke atas bekas Peguam Negara itu.

“Saya percaya kepada kedaulatan undang-undang dan kedaulatan undang-undnag berkata tidak ada orang yang dikecualikanapabila kita laksana kedaulatan.

“Jadi, sama ada dia Peguam Negara atau pun hakim besar atau pun dia pemimpin anti rasuah semua sama sahaja.

“Dari segi undang-undang semua sama sahaja. Kalau ada kes, kita jalankan siasatan dan kalau kita dapati keputusan yang positif kita ambil tindakan,” katanya pada media semasa Pelancaran Aspirasi Johor di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Beliau ditanya mengenai dakwaan kononnya Tommy menerima rasuah berkaitan kes yang melibatkan anak lelaki taikun terkenal Tan Sri Vincent Tan.

Tommy yang dilantik ketika era pemerintahan Pakatan Harapan didakwa menggugurkan kes dadah yang melibatkan ahli perniagaan terkenal itu.

Bekas Peguam Negara itu bagaimanapun menafikan menutup kes pertuduhan tersebut.

Sebaliknya beliau hanya mengurangkan dakwaan yang dikenakan terhadap anak Vincent selepas pasukan peguambela mengemukakan representasi bertulis agar dipertimbangkan semula keputusan pertuduhan.

Menurut Thomas, beliau mengurangkan pertuduhan selepas meneliti representasi dan kertas siasatan, mengkaji peruntukan undang-undang berkaitan dan perbincangan dengan pegawai kes.

“Seingat saya dalam kes ini, tertuduh iaitu anak kepada ahli perniagaan terkenal Vincent Tan ditangkap atas kesalahan dadah dan didakwa.

“Seperti biasa dalam hal jenayah, peguam yang mewakili tertuduh mengemukakan representasi bertulis kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mempertimbangkan semula keputusan pertuduhan. Surat ini dibawa ke perhatian saya, atas keputusan saya.

“Menerima representasi daripada peguam dan tertuduh serta mengurangkan atau menggugurkan pertuduhan selepas itu adalah perkara biasa dalam AGC (Jabatan Peguam Negara),” katanya.

Sebelum ini, satu posting di akaun twitter Edisi Khas mendakwa Thomas telah menutup kes melibatkan anak ahli perniagaan tersebut yang ditahan pada Disember 2019 kerana memiliki dadah dengan kuantiti yang banyak dan didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Thomas berkata, dakwaan Edisi Khas bahawa beliau melakukan rasuah dalam konteks posting itu membayangkan bahawa dirinya telah disogok.

“Sepanjang kerjaya profesional saya dan dalam kehidupan peribadi saya, saya tidak pernah membayar rasuah. Sepanjang saya berkhidmat sebagai pegawai awam, saya tidak pernah menerima rasuah.

“Integriti, kejujuran dan kebenaran adalah nilai yang diterapkan dalam diri saya sebagai anak kecil, dan dipupuk di sekolah. Mereka telah melayani saya dengan baik semasa dewasa.

“Akhirnya, integriti, kejujuran dan kebenaran adalah nilai berharga bagi saya. Dakwaan bahawa saya telah disogok semasa saya mengambil keputusan ini oleh itu dinafikan sekeras-kerasnya,” katanya lagi.- MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast