KOTA BHARU – Keluarga Muhammad Hilman Firdaus, bayi lelaki berusia dua bulan yang meninggal dunia pada Jumaat lepas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini akan mengambil tindakan undang-undang terhadap hospital itu.
Ibu bayi berkenaan, Rosilawati Ismail, 26, berkata beliau akan memfailkan saman kerana kecuaian pihak hospital ketika rawatan termasuk memberi susu formula hampir tamat tempoh, dipaksa berpuasa selama lima hari selain diberikan ubat tidur tanpa meminta kebenaran sehingga menyebabkan kematian Muhammad Hilman Firdaus.
“Perjumpaan saya dan suami, Muhammad Hilmi Firdaus, 23, dengan pihak HRPZ II pada Isnin lepas seakan tidak mendapat kata putus punca kematian anak malah pihak hospital juga meminta supaya menunggu keputusan darah arwah yang mengambil masa sekitar dua hingga tiga bulan.
“Saya hanya mahu keadilan terhadap kematian anak saya, sekurang-kurangnya mengetahui dengan jelas punca kematiannya sekali gus memberi pengajaran agar perkara ini tidak berlaku kepada pihak lain,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Bercerita lanjut mengenai anaknya, Rosilawati berkata pada 5 Februari lepas beliau telah membawa Muhammad Hilman Firdaus ke sebuah klinik swasta di Lundang untuk rawatan selepas mengalami cirit-birit sebelum doktor di klinik itu memintanya ke HRPZ II kerana bayi berkenaan mengalami cirit-birit yang serius.
Menurut Rosilawati, sebaik tiba di HRPZ II, anaknya telah menerima rawatan awal di bahagian kecemasan lalu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) kerana kekurangan air sebelum dipindahkan ke wad biasa pada 8 Februari susulan kesihatan yang semakin baik.
“Semasa saya ingin memberikan susu formula tersebut pada 9 Februaru, saya mendapati label tin itu tertulis tarikh luput 12 Februari tahun ini iaitu tarikh yang hampir tamat tempoh selain tekstur susu berkenaan juga telah berubah.
“Saya telah mempersoalkan perkara ini kepada doktor yang bertugas namun beliau memaklumkan susu itu masih boleh digunakan selagi tidak berkulat,” katanya.
Rosilawati berkata, pada 12 Februari, Muhammad Hilman Firdaus diberi ubat tidur tanpa meminta kebenarannya selain diminta berpuasa selama lima hari bermula 15 Februari.
“Pada 18 Februari, saya mendapati keadaan anak lemah sebelum tidak sedarkan diri dan meninggal dunia sekitar 4.30 petang, Jumaat lepas,” katanya.
Bernama sebelum ini melaporkan HRPZ II akan mengadakan pertemuan dengan keluarga mangsa pada Isnin lepas, susulan dakwaan berlaku kecuaian ketika mangsa mendapatkan rawatan di hospital itu hingga menyebabkan kematian.
Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dalam kenyataan media berhubung perkara tersebut dilaporkan akan melakukan siasatan secara menyeluruh dan terperinci berhubung kematian bayi itu. – Bernama