KUALA LUMPUR – Kewangan Islam mempunyai peranan utama dalam menangani jurang antara kemampanan jangka panjang dan pertumbuhan inklusif melalui Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 17 sebagai kompas panduan.
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata sebahagian besar daripada SDG berkenaan adalah sejajar dengan objektif Shariah atau Maqasid Shariah, sekali gus menjadikan kewangan Islam maju secara semula jadi dan menerajui matlamat kemampanan.
“Ini adalah kes di Malaysia yang mana objektif kemampanan direalisasikan dengan melaksanakan amalan Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI). Sejak beberapa tahun ini, institusi kewangan Islam telah memberi sumbangan ketara untuk menjalankan usaha kemampanan di peringkat tempatan.
Persidangan dua hari yang bermula hari ini dianjurkan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).
Abdul Rasheed berkata, secara kolektif, institusi kewangan Islam di Malaysia telah terlibat dalam inisiatif sejajar dengan VBI melebihi RM155.6 bilion sejak tiga tahun lepas.
“Kajian menunjukkan bahawa kira-kira 70 peratus daripada nilai baharu yang bakal diwujudkan dalam ekonomi pada dekad akan datang adalah berasaskan platform menggunakan digital, keadaan yang mendorong kepada kejayaan cemerlang inovasi terhadap masalah yang tidak ada kesudahannya,” kata Abdul Rasheed.
Abdul Rasheed berkata melalui aplikasi yang tepat dan bertanggungjawab, teknologi memuncul dapat meluaskan impak kewangan Islam dalam memenuhi matlamat kemampanan.
“Sebagai contoh, penerapan data raya, kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin membolehkan pemahaman yang lebih baik kepada keperluan yang pelbagai dan khusus bagi segmen berbeza terutamanya segmen yang tidak mendapat perkhidmatan kewangan dan kurang mendapat perkhidmatan kewangan,” katanya. – MalaysiaGazette