Bangunan Maybank di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Malayan Banking Bhd (Maybank) mencatatkan keuntungan bersih RM8.10 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2021 berbanding RM6.48 bilion pada tahun kewangan 2020.

Perolehan bagaimanapun susut kepada RM45.96 bilion daripada RM51.03 bilion bagi tempoh yang sama, menurut syarikat perbankan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis.

Ia menambah, pendapatan faedah bersih serta pendapatan perbankan Islam bagi tahun kewangan 2021 pula meningkat RM2.38 bilion atau 13.8 peratus kepada RM19.61 bilion, berbanding tahun sebelumnya.

Premium insurans diperoleh bersih daripada anak syarikat insurans dan takaful berkurangan sebanyak RM612.1 juta kepada RM8.85 bilion berbanding prestasi pada tahun kewangan 2020, jelas Maybank.

“Pendapatan operasi lain daripada syarikat bagi tahun kewangan ini adalah RM4.47 bilion, penyusutan RM2.83 bilion atau 38.8 peratus daripada RM7.30 bilion yang direkodkan pada tahun kewangan 2020.

“Penurunan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh keuntungan bersih lebih rendah direkodkan dalam pendapatan pelaburan iaitu RM1.42 bilion selain kerugian peringkat awal perakaunan berkaitan penilaian semula derivatif yang belum direalisasikan sebanyak RM146.8 juta, aset kewangan yang ditetapkan sebaik sahaja penerimaan awal pada nilai saksama menerusi keuntungan atau kerugian (FVTPL) sebanyak RM764.2 juta di samping pelaburan kewangan pada FVTPL sebanyak RM235.8 juta bagi tahun kewangan 2021,” menurutnya.

Penurunan itu bagaimanapun telah dikurangkan oleh keuntungan derivatif yang direalisasikan sebanyak RM357.1 juta bagi tahun kewangan 2021 berbanding kerugian yang direalisasikan RM626.9 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Ia turut didorong oleh peningkatan keuntungan peringkat awal perakaunan yang belum direalisasikan berkaitan penilaian semula liabiliti kewangan pada FVTPL berjumlah RM700.8 juta serta pendapatan fi lebih tinggi sebanyak RM264.3 juta turut, menurut bank itu.

Secara keseluruhan, Maybank menjangkakan prospek lebih cerah bagi tahun kewangan 2022, dipacu oleh pembukaan semula ekonomi yang lebih luas dan berterusan, pelonggaran kawalan sempadan di samping kadar vaksinasi yang lebih tinggi.

Ia menjelaskan, pihaknya komited dalam menyokong pemulihan ekonomi merentas pasaran tempatannya dengan membolehkan akses kepada sokongan kewangan untuk pelanggan mengukuhkan kedudukan kewangan mereka selain memanfaatkan peluang pertumbuhan yang ada. – MalaysiaGazette