Perikatan Nasional
Perikatan Nasional

PONTIAN – Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin menyindir parti lawan kerana tidak berani meminta calon-calon Islam yang bertanding pada pilihan raya untuk melafazkan sumpah wallahi wabilahi watallahi.

Muhyiddin berkata, hanya PN yang tegas dengan meminta calon Islam melafazkan sumpah tersebut bagi mengelakkan mereka daripada mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

“Di dalam PRN Johor antara langkah pertama yang kita sudah putuskan bahawa setiap calon daripada peringkat nasional akan mengambil sumpah atau pun akujanji untuk menolak segala bentuk rasuah, segala bentuk salah guna kuasa dan berpegang pada prinsip tanggungjawab dan amanah sejujur-jujurnya.

“Kita buat ini pada waktu pilihan raya Melaka baru-baru ini. Saya lihat hanya Perikatan Nasional sahaja berani untuk minta calon-calonnya mengangkat sumpah wallahi wabilahi watallahi untuk yang Islam, supaya mereka akan menjauhkan diri mereka daripada amalan rasuah dan amalan salah guna kuasa,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam ucapan majlis pengumuman nama-nama calon Perikatan Nasional yang akan bertanding pada PRN Johor nanti.

Menurut Muhyiddin, bagi memastikan calon-calon yang bertanding adalah bersih, nama mereka telah dihantar kepada Polis Diraja Malaysia untuk disemak jika terdapat kes-kes mahkamah.

“Jangan jadi seperti kluster mahkamah. Kita juga menghantar nama calon kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)… jangan ada elemen-elemen rasuah.

“Kita hantar pada Jabatan Insolvensi melihat sama ada mereka ini bankrap ataupun tidak. Di samping itu, parti juga membuat saringan dari segi kelayakan-kelayakan yang lain,” katanya.

Muhyiddin menegaskan amanah dan tanggungjawab yang akan dipikul oleh calon terbabit amat berat.

Tambahnya, PN bertekad dan berazam bahawa kerajaan negeri yang akan dibentuk nanti akan dapat merancang satu bentuk pembangunan yang lestari yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan rakyat negeri Johor.

PN akan bertanding di semua 56 Dewan Undangan Negeri pada PRN Johor dengan Bersatu meletakkan 33 calon, Pas 18 dan Gerakan lapan. – MalaysiaGazette.

1 Komen

Comments are closed.