Danesh (tengah) melambai tangan ke arah ahli keluarganya selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan merusuh berhampiran sebuah kedai peralatan kesihatan di Jalan Perai Jaya 6, Perai pada 14 Februari lalu.

Bagaimanapun kesemua tertuduh, P. Thibenen, 26;  P. Suria Kumar dan L. Danesh masing-masing berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama tujuh lagi suspek yang masih bebas setelah didapati berada dalam satu rusuhan dengan melakukan kekerasan.

Danesh (kiri) Suria Kumar membayar wang jaminan masing-masing.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran sebuah kedai peralatan kesihatan di Jalan Perai Jaya 6, Perai, pada 14 Februari lalu pada jam 3.15 pagi.

Dakwaan kes terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam masing-masing.

Lushani meminta mahkamah menetapkan jaminan RM9,000 bagi setiap tertuduh namun peguam tertuduh masing-masing meminta mahkamah mengurangkan jaminan susulan Suria Kumar dan Thibenen merupakan pekerja kontrak manakala Danesh menjalankan perkhidmatan pengangkutan yang kini mengalami kemerosotan perniagaan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 5 April depan bagi sebutan semula kes.

Sementara dalam pertuduhan berasingan, Thibenen dan Danesh mengaku tidak bersalah atas tiga lagi pertuduhan membabitkan perbuatan khianat.

Thibenen didakwa atas empat pertuduhan membabitkan merusuh dan khianat.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan khianat menyebabkan kerosakan pada cermin tingkap sebuah rumah dan kereta Proton Wira Aeroback milik seorang wanita berusia 51 tahun pada tarikh sama, jam 3.30 pagi, di Kampung Manis, Perai.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa telah menyebabkan kerosakan pada sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback milik seorang lelaki berusia 32 tahun pada tarikh, masa serta lokasi yang sama, sekali gus  menyebabkan kerugian berjumlah RM800.

Dakwaan kes terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleemy Ali manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam masing-masing.

Mohd Harith kemudian menetapkan setiap tertuduh dijamin RM4,500 dan seorang penjamin bagi tiga pertuduhan serta menetapkan 5 April depan bagi sebutan semula kes. – MalaysiaGazette