KUALA LUMPUR – Indeks Pelopor (IP) Malaysia pada Disember 2021 kekal dalam aliran pertumbuhan yang meningkat pada 2.1 peratus, mencecah 111.5 mata berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya (Disember 2020: 109.2 mata).
IP merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata
empat hingga enam bulan ke hadapan.
Pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh peningkatan kukuh dalam Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan, kata Jabatan Perangkaan.
Berbanding dengan bulan sebelumnya, IP perlahan kepada 0.3 peratus pada Disember 2021 (November 2021: 1.6%).
Penyumbang tertinggi kepada peningkatan ini ialah Import Benar Semi Konduktor (0.7%) dan Bilangan Syarikat Baru Didaftar (0.5%).
IP pada Disember 2021 yang berterusan melebihi 100.0 mata dan meningkat menunjukkan momentum yang lebih optimis terhadap prospek ekonomi pada bulan-bulan ke hadapan.
Di sebalik lonjakan kes Covid-19, Malaysia mengoptimumkan sumber penjagaan kesihatannya untuk mengekang penyebaran varian Omicron berbanding pelaksanaan semula sekatan ekonomi atau sosial.
Oleh yang demikian, membolehkan perniagaan mendapatkan semula momentumnya untuk memacu pemulihan ekonomi.
Dari segi prestasi Indeks Serentak (IS), pertumbuhan tahun ke tahun meningkat sebanyak 2.2 peratus untuk mencatat 113.9 mata pada Disember 2021 (Disember 2020: 111.4 mata).
IS yang menggambarkan keadaan ekonomi semasa menurun kepada perubahan bulanan negatif 0.3 peratus pada Disember 2021 (November 2021: 0.9%).
Penurunan dalam IS dipengaruhi terutamanya oleh penurunan 0.4 peratus dalam Kapasiti Penggunaan di sektor Pembuatan.
Namun begitu, prestasi IS pada Disember 2021 mengatasi prestasi pra-pandemik dengan mencatatkan 100.4 mata. – MalaysiaGazette