Jenama KMZ menempa nama terutama ketika fasa awal pandemik melalui Zahran Covid-19 Centre.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Megaklinik Zahran (KMZ) mencipta kejayaan apabila dinobatkan The Brandlaureate-Bumiputera Best Brand Award kategori Healthcare Integrated Private Clinic.

Ia selepas sembilan tahun beroperasi termasuk menempa nama di era pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Nafidz Abdul Razak berkata, kejayaan itu menjadi penanda aras baharu buat pihaknya yang mendedikasikan anugerah berprestij itu kepada seluruh pasukan kerja KMZ pada acara berlangsung di Hotel Majestic di sini semalam.

“Kejayaan ini tidak bermakna tanpa pekerja kami yang menjadi tulang belakang KMZ dan mereka telah mengembling usaha serta tenaga dalam memberikan pelbagai perkhidmatan terbaik buat seluruh pelanggan dan pesakit.

“Ia sekali gus berjaya membawa jenama KMZ sebagai satu jenama Bumiputera yang terbaik di Malaysia.

“Semoga kejayaan ini akan menjadi titik tolak dan pembakar semangat untuk kita semua warga kerja KMZ termasuk membendung wabak jahat di luar sana yang masih menjadi ancaman manusia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KMZ mula bertapak pada tahun 2013 namun nama klinik ini menjadi perhatian sejak dua tahun lalu ketika dunia diserang pandemik.

Pembabitan golongan terkenal termasuk artis menjadi medium pengaruh serta promosi terbesar selain rezeki mudah buat jenama itu pantas dikenali dan menjadi sebutan.

Mohd Nafidz dan isterinya, Datin Ummul Khairiyah Abdul Rahman (kiri).

Mohd. Nafidz memberitahu, KMZ kini mempunyai 11 cawangan yang beroperasi di hampir seluruh negara.

Menurut beliau, pihaknya menyasarkan pembukaan 12 lagi cawangan sepajang tahun ini dalam usaha menjadikan jumlah keseluruhan 23 cawangan.

“Jenama KMZ menempa nama terutama ketika fasa awal pandemik melalui Zahran Covid-19 Centre yang menyediakan perkhidmatan penuh pengurusan wabak itu.

“Ia termasuk daripada saringan Coviud-19 secara 24 jam dan menerusi khidmat bergerak ke lokasi.

“Begitu juga Pusat Penilaian COVID-19 Swasta untuk pesakit positif, pusat pemberian vaksin (PPV) dan pusat kuarantin serta rawatan COVID-19 swasta,” katanya.

Ketika ini, perkhidmatan ditawarkan KMZ setakat ini juga telah membantu lebih dua juta rakyat Malaysia di samping membantu negara dalam misi membebaskan wabak jahat itu.

“Kami optimis dengan perancangan tahun ini, KMZ akan meneroka sektor ‘Medical Tourism” pula sebagai salah satu agenda utama kerana industri ini yang banyak terjejas semasa pandemik mengganas,”

KMZ yang beribu pejabat di Bandar Baru Bangi dekat sini diusahakan Mohd Nafidz bersama isterinya, Datin Ummul Khairiyah Abdul Rahman yang menjadi Ketua Pemasaran dan Pengkomersilan Jenama yang kerap berkongsi kesedaran, input dan info terutama mengenai Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast