Mukhriz Mahathir bersama jentera muda dan Pejuangnita Muda bagi PRN Johor di Simpang Renggam.

SIMPANG RENGGAM – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak berhasrat untuk berunding dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) walaupun terpaksa bersaing di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memang tidak menyangka akan berlakunya pertembungan dengan MUDA.

Ini kerana, parti itu turut berminat pada kerusi-kerusi yang dominasi oleh pengundi Melayu.

”Pendirian kami dari awal adalah kawasan-kawasan yang majoritinya Melayu, situ kami hendak tanding. Kita tidak sangka MUDA pula berminat pada kerusi-kerusi seperti itu.

”Tetapi kita tidak akan membuat apa-apa rundingan bagi mengelakkan pertembungan ini,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jentera Muda dan Pejuangnita Muda bagi PRN Johor di sini hari ini.

Antara kerusi yang akan berlakunya pertembungan antara Muda dan Pejuang ialah N05 Tenang, N07 Bukit Kepong, N22 Parit Raja, N26 Machap, N41 Putri Wangsa, N44 Larkin dan N50 Bukit Permai.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, Pejuang berpendapat MUDA lebih bertumpu di kawasan pengundi bandar dan pinggiran bandar.

“Pada awalnya kita ingat matlamat MUDA adalah pengundi bandar dan pinggiran bandar. Walaupun begitu, kita terima hakikat sesiapa pun yang menjadi calon pada pilihan raya kerana ini demokrasi.

Awal bulan ini, Pejuang pernah mendedahkan pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan MUDA bagi menjalinkan kerjasama dalam PRN Johor namun selepas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), keputusan itu tidak didedahkan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast