Shafie Apdal Warisan
Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal beramah mesra dengan calon selepas Majlis Pengumuman Calon Warisan sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 di Renaissance Hotel Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 25 FEBRUARI 2022.

JOHOR BAHARU – Parti Warisan mempertaruhkan enam calon kesemuanya lelaki dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Parti itu menyasarkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas, Bekok, Mahkota, Johor Jaya, Bukit Batu dan Permas.

Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal berkata, kesemua calon yang dikemukakan adalah muka baharu yang tidak pernah bertanding.

Menurutnya, Warisan tidak meletakkan calon wanita kerana mereka disediakan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

“Walaupun mungkin tak ada wanita. Tapi sebenarnya ada, kita nak sediakan untuk parlimen akan datang. Bukan tak ada.

“Cuma kita mahu mengukur keupayaan kita buat setakat ini kita betul-betul realistik. Banyak sangat yang bertanding. Kita buat kelainan daripada mereka. Kita tidak mahu sebaris dengan parti lain, tapi kita mahu sebaris dengan rakyat,” katanya.

Shafie berkata, kerusi yang menjadi pilihan Warisan adalah kerusi yang dikenalpasti akan menang.

Tegasnya, walaupun jumlah calon yang diletakkan oleh Warisan adalah kecil berbanding parti lain namun apa yang penting adalah suara lantang wakil Warisan dalam Dewan Undangan Negeri Johor sekiranya dipilih oleh rakyat.

“Bukan oleh kerana suaranya yang lantang. Tapi kandungan suara itu. Dengan nilai dan disiplin yang ada. Tak ada ertinya suara kita lantang dalam Parlimen dan DUN tapi kita tandatangan memorandum. Apa gunanya?

“Apa yang penting bila suara kita lantang secara konsisten supaya bangkit kesedaran rakyat yang ada. Kita bekerja untuk rakyat.

“Walaupun suara kita enam, tak bererti suara itu tak kedengaran. Berapa jumlah rakyat negeri Johor yang ada bersama kita, maka itu gerakan yang kita ada sekarang,” kata Shafie.

Beliau juga berkata, Warisan tidak memerlukan pertolongan jentera parti pembangkang untuk mengerakkan kempen parti itu.

Sebaliknya, Shafie yakin ramai rakyat yang akan membantu Warisan menjalankan kempen parti itu nanti.

Tambahnya, kerjasama dengan rakyat adalah lebih penting berbanding kerjasama dengan parti politik lain yang hanya pandai mengugut.

“Sudah sampai masanya kita mengubah landskap, yang penting rakyat. Kita perlu tingkatkan kerjasama dengan rakyat jangan hanya kerjasama dengan parti politik.

“Kerjasama dengan parti politik dia tekan butang. Dia ugut, susah kita. Sampai mana keadaan ketidakstabilan dapat dilahirkan? Contoh di Melaka ada pilihan raya, lepas itu lawan antara satu sama lain, lepas itu duduk di Putrajaya, sepakat pula. Di Johor bergaduh,” kata Shafie dalam sidang media. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast