Tee See Kiong (kanan) semasa sidang media di Danga Bay hari ini.

JOHOR BAHRU – Ketua Bahagian MCA Pontian, Datuk Tee Siew Kiong memberitahu keputusan tidak mencalonkannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disebabkan perpecahan yang berlaku dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang itu mendakwa kepimpinan MCA Pusat mencalonkan individu-individu yang tidak mempunyai jawatan peringkat bahagian dan tidak dikenali masyarakat setempat.

Beliau berkata, seramai 15 calon yang ditampilkan adan da antaranya merupakan pegawai kepada menteri dan timbalan menteri.

“Pemimpin-pemimpin parti yang membuat keputusan ini mempunyai agenda kepentingan politik sendiri dan tidak melihat kepada keadaan keseluruhan.

“Pemimpin MCA Pusat sebaliknya hanya mahu mengukuhkan kedudukan dalam parti dengan mencalonkan individu yang merupakan penyokong mereka.

“Pendek kata, pemimpin MCA lebih mementingkan pilihan parti berbanding daripada kepentingan masyarakat dalam PRN Johor ini,” katanya dalam sidang media di pejabat Pusat Ekonomi Digital Johor di Danga Bay hari ini.

Semalam, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mengumumkan senarai nama seramai 14 calon parti itu yang akan bertanding atas tiket BN manakala seorang lagi calon baharu diumumkan hari ini.

Sehubungan itu, Siew Kiong yang juga merupakan Penasihat kepada Menteri Besar Johor meminta maaf kepada masyarakat khususnya penyokongnya kerana tidak dapat mewakili mereka dalam PRN Johor ini.

“Saya juga memohon maaf kepada mana-mana kepimpinan bahagian MCA yang berkelayakan tetapi tidak tercalon kerana sokongan mereka terhadap saya.

“Saya turut berasa kesal kerana pemimpin parti tidak mempertahankan kerusi tradisi MCA iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang hanya kerana kepentingan politik dan agenda peribadi,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor bagaimanapun memaklumkan pihaknya masih kekal setia dengan perjuangannya dalam MCA.

“Saya tetap berterima kasih kepada sokongan diberikan kepimpinan BN negeri dan pusat terhadap saya walaupun pada akhirnya parti saya sendiri tidak bertolak ansur.

“Akhirnya, saya berterima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat dan memberi sokongan kepada saya, saya percaya jika satu pintu ditutup, akan ada pintu lain yang terbuka buat saya,” jelasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast