Reezal Merican Naina Merican #malaysiagazette

PASIR GUDANG – UMNO telah terbukti muncul menjadi penyelamat ketika negara berada dalam keadaan tidak stabil terutama apabila berdepan pandemik Covid-19 sebelum ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ini kerana keupayaan dan kemampuan pemimpin parti itu yang berjaya mentadbir negara dengan meletak kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Malah jelas beliau, kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada UMNO turut berjaya menstabilkan kerajaan hari ini menerusi perjanjian dengan pemimpin utama pembangkang.

“Saya sudah sebut beberapa kali UMNO adalah penstabil dan ketika runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pun bukan disebabkan oleh kita namun mereka di mana menjadi penstabil adalah UMNO.

“UMNO juga tampil ke depan apabila Ismail Sabri muncul setiap hari (isu Covid-19) yang juga menteri daripada UMNO.

“Dalam banyak-banyak menteri yang diberi tanggungjawab menyelesaikan isu vaksin Datuk Seri Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin.

“Kedua-duanya menteri UMNO dan menyebabkan rakyat pandang ada perkara yang dilakukan kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat

“Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn pula mempunyai hubungan dengan Arab Saudi dan mendapat sumbangan vaksin di mana maknanya UMNO menjadi penstabil.

“Apabila Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, beliau berjaya menghasilkan senario dimana Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng kesemuanya akur dan akhirnya bajet berjalan dengan lancar.

“Kerana apa, kerana Perdana Menteri mempunyai keupayaan untuk bawa kestabilan, beliau Perdana Menteri daripada mana, daripada UMNO. Ini bermakna UMNO bawa kestabilan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Masai di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ditanya keyakinan UMNO meletakkan sebanyak 70 peratus calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diumumkan semalam.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad.

Mengulas lanjut, Reezal Merican yakin pengundi Johor akan memilih UMNO pada PRN Johor 12 Mac nanti.

“Saya secara peribadi turun ke Batu Pahat dan Sri Gading, rata-rata reaksi rakyat positif kepada UMNO menerusi wajah dan keyakinan mereka,” katanya. –
MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast