Sebahagian daripada kakitangan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang menduduki di Bangunan Canselori turun ke kawasan lapang di bawah setelah terasa gegaran yang kuat pagi tadi.

MELAKA – Beberapa kawasan di Melaka bergegar berikutan gempa bumi berskala 6.2 Richter yang melanda Pasaman Barat di Sumatera Barat, Indonesia pagi tadi.

Antara kawasan terlibat yang merasai gegaran kira-kira jam 9.50 pagi adalah Bukit Beruang dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Bangunan Pentadbiran Kerajaan negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli mengesahkan menerima laporan di beberapa kawasan lain.

Ia termasuk di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, Seri Negeri, Hang Tuah Mall, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Cawangan Bandar.

Seorang kakitangan UTeM berkata, ketika ini universiti itu telah meminta semua kakitangan berkumpul di kawasan lapang di bawah bangunan sebagai langkah keselamatan.

“Beberapa kakitangan di Bangunan Canselori turun ke kawasan lapang di bawah setelah terasa gegaran yang kuat.

“Semua kemudian berkumpul di kawasan lapang bawah bangunan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Kakitangan di Bangunan Seri Negeri diarahkan berkumpul di kawasan lapang.

Sementara itu penduduk di Taman Kerjasama Bukit Beruang, Maizatul Shahida Syafie, 39, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di ruang tamu rumah.

“Meremang bulu roma bila tiba-tiba rasa rumah bergoyang kuat termasuk perabot pun bergegar.

“Saya ingatkan pening rupanya bila saya lihat media sosial barulah saya tahu memang berlaku gempa bumi di Indonesia,” katanya.

Kompas.com melaporkan gempa bumi itu berlaku kira-kira pukul 8.39 pagi waktu tempatan, 17 kilometer ke timur laut Pasaman Barat.

Pusat gempa bumi itu berada pada kedalaman 10 kilometer namun setakat ini, ia tidak menyebabkan ancaman tsunami. – MalaysiaGazette