Sebastian Vettel. Foto The Independent

BARCELONA – Sebastian Vettel tidak akan berlumba di kejohanan Formula 1 Grand Prix (GP) Rusia musim ini.

Keputusan itu dibuat berikutan pencerobohan negara tuan rumah tersebut ke atas Ukraine, katanya pada sidang media selepas percubaan pra-musim di Barcelona.

Perlumbaan tersebut dijangka berlangsung di Autodrom Sochi Rusia, pada 23 hingga 25 September, tetapi F1 mahupun badan induk sukan tersebut Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) masih tidak melakukan apa-apa tindakan pembatalan atau penukaran lokasi kejohanan.

Menurut Ketua Penulis F1 BBC, Andrew Benson melalui ciapan di Twitternya @andrewbensonf1, juara F1 empat kali itu berkata “Saya tidak sepatutnya pergi, dan saya tidak akan pergi. Ianya salah untuk berlumba di negara ini,”

Kata-kata Vettel yang dipetik menerusi ciapan di Twitter Andrew Benson @andrewbensonf1

“Saya turut bersedih untuk orang yang tidak bersalah yang dibunuh atas alasan bodoh,”

“Rusia mempunyai sifat kepimpinan yang sangat pelik dan gila,”

“Saya terkejut dengan apa yang sedang berlaku di Ukraine, kita lihat apa akan jadi pada masa hadapan, tetapi untuk saya, saya sudah buat keputusan dan keputusan saya muktamad” tambah pelumba kelahiran Jerman itu.

Penyandang juara musim lepas, Max Verstappen juga berkata “Apabila sesebuah negara sedang berperang, salah untuk kita (pemandu F1) berlumba disana.”

Verstappen juga telah memberitahu bahawa dia tidak akan berlumba jika kejohanan tersebut masih akan dijalankan di Rusia.

Halaman atas talian yang menjual tiket untuk acara tersebut dilaporkan hilang dari laman web rasmi F1 – muncul halaman yang mempromosikan GP di Turki.

Sehubungan itu, telah keluar spekulasi bahawa perlumbaan tersebut akan dibatalkan dan digantikan di Tukri, namun jurucakap F1 berkata “Kami masih sedang memantau dan akan terus berbuat demikian.” – BBC Sport

(https://www.bbc.com/sport/formula1/60508391)