Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal berucap pada Majlis Pengumuman Calon Warisan sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 di Renaissance Hotel Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 25 FEBRUARI 2022.

JOHOR BAHRU – Parti Warisan tidak akan mengeluarkan sebarang manifesto untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal berkata, tempoh pilihan raya negeri yang singkat menjadi faktor parti itu tidak menyediakan sebarang manifesto untuk rakyat.

“Jelas tak payah manifesto. Ini pilihan raya yang agak singkat bagi kita. Hanya beberapa minggu.

“Kita menyasarkan (menjadi) seorang wakil rakyat, yang bertindak sebagai semak dan imbang. Dan kita sedang menyediakan diri untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15,” kata Shafie ringkas ketika ditanya media.

Beliau hari ini mengumumkan enam calon Warisan yang akan bertanding dalam PRN Johor.

Kesemua calon adalah lelaki yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas, Bekok, Mahkota, Johor Jaya, Bukit Batu dan Permas.

Shafie berkata, tidak ada gunanya untuk sesebuah parti meletakkan jumlah calon yang ramai tetapi hanya menang di beberapa kerusi sahaja.

“Kita tidak bertanding sampai 100 kerusi buat apa? Kalau menang satu sahaja. Baik kita bertanding dengan jumlah yang kecil tapi kita menang kecil.

“Kalau kita menang enam alhamdulilah. Menang 100 peratus. Awak nak bertanding 60 kerusi menang enam sahaja, baru 10 peratus kan?” kata beliau.

Sementara itu, Shafie Apdal berkata, Warisan telah pun mengenal pasti calon yang akan diletakkan dalam Pililhan Raya Umum ke-15 nanti.

Parti itu juga telah mengenal pasti beberapa kawasan yang akan ditandingi di Johor pada PRU-15.

“Ya, sudah ada. Kita telah mengenal pasti siapa yang akan jadi calon Parlimen. Sebab itu kita bertanding PRN Johor.

“Contohnya di Pasir Gudang sebab itu kita bertanding dua DUN di Johor Jaya dan juga di Permas.

“Kita juga telah mengenal pasti beberapa kawasan lain yang kita boleh menang,” katanya dalam sidang media.

Calon DUN N.29 Mahkota, Mohamed Noor Suleiman pada Majlis Pengumuman Calon Warisan sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 di Renaissance Hotel Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 25 FEBRUARI 2022.

Antara calon yang dipertaruhkan dalam PRN Johor adalah aktivis kemanusiaan iaitu Pengerusi Mercy Johor Mohamad Noor Suleiman. Beliau akan bertanding di Dewan Undangan Negeri Mahkota.-MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast