SIMPANG RENGGAM – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Layang-Layang menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Sekitar jam 11 pagi tadi, Pengawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Layang-Layang, Abd Hakim Abd Manap membuat pengumuman rasmi berhubung empat calon yang sah bertanding dari parti-parti tersebut.
Abd Hakim berkata, pihaknya berpuas hati dengan semua borang pencalonan yang telah dikemukakan oleh keempat-empat calon tersebut sebelum membuat pengumuman kesemua mereka dibenarkan bertanding di DUN Layang-Layang.
Pertembungan empat penjuru ini agak sengit memandangkan antara calon yang akan bertanding bagi DUN ini termasuklah bekas Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DUN Layang-Layang yang mewakili BN, Datuk Ab Mutalip Abd Rahim.
Juga bertanding ialah anak tempatan dari Skudai berhijrah ke Simpang Renggam sejak enam tahun lepas, K Alagathiran yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan calon mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ahmad Shafiq Othaman.
Untuk makluman, DUN Layang-Layang yang berada di bawah Parlimen Simpang Renggam selain DUN Machap sebelum ini telah dimenangi dengan undian tipis oleh BN iaitu 47 peratus pada PRU-14.
Pada PRU lepas, kerusi ini dimenangi oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga mantan Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor menang dengan undian 364 undi majoriti mengalahkan calon PH, MS Murugan.
Onn Hafiz kali ini bertanding di DUN Machap manakala Ab Mutalip pula yang berpengalaman sebagai ADUN sepenggal di Layang-Layang kini kembali mewakili BN.
Pada 23 Januari, SPR secara rasmi menerima notis daripada Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berhubung pembubaran DUN Johor penggal yang ke-14.
Kerajaan Johor sebelum ini dilaporkan memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang iaitu PH, berikutan kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga mantan Menteri Besar Johor, pada 21 Disember lalu.
Seterusnya, pada 9 Februari lalu SPR menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.
PRN Johor juga bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru di 42 daripada 56 DUN dengan rata-ratanya ditandingi oleh pemimpin dari parti-parti gergasi dan popular dengan masing-masing menampilkan pemimpin dari pelbagai kriteria terutamanya dari generasi muda.
Pengundi Johor juga telah meningkat kepada 2.5 juta berbanding 1.8 juta pada PRU-14 dengan kira-kira 28 peratusnya atau 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran Undi 18. -MalaysiaGazette