DESARU – Pusat Penamaan Calon bagi Bahagian Pilihan Raya Negeri N38 Penawar dibuka secara rasmi tepat jam 9 pagi kepada semua parti politik yang mahu menghantar borang pencalonan masing-masing bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) Pusat Penamaan Calon N38 Penawar, Fizwan Mohd Rashidi di luar pekarangan pusat penamaan itu di Dewan Bandaran Bandar Penawar.
Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rahmatullah Kamilin, antara individu terawal tiba di pusat penamaan calon ini kira-kira jam 7.30 pagi tadi dengan diiringi pencadang dan penyokongnya.
Ini disusuli calon Barisan Nasional (BN), Fauziah Misri yang tiba di pusat penamaan calon kira-kira jam 8.19 pagi tadi.
Dua minit kemudian, calon Pakatan Harapan (PH) dari Amanah, Norazila Sanip pula tiba di pusat penamaan calon yang sama kira-kira jam 8.21 pagi.
Manakala calon parti politik yang terakhir tiba di Dewan Bandaran Bandar Penawar ialah daripada Perikatan Nasional (PN), Mohd Faizal Asmar yang tiba kira-kira jam 8.55 pagi tadi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kerusi N38 Penawar dimenangi calon BN, Datuk Sharifah Azizah AlShahab dengan memperoleh 7,134 majoriti undi.
Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Johor yang mendapat 12,330 undi berjaya menumpaskan lawannya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad Kamah Nor dengan 5,196 undi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, hari undi awal ditetapkan pada 8 Mac manakala hari mengundi sebenar pada 12 Mac ini. – MalaysiaGazette
-TAMAT-