Sebanyak 950 kes varian Omicron dikesan sehingga 19 Febuari yang lalu,- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 950 kes varian Omicron dikesan sehingga 19 Febuari yang lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Ujarnya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 764 kes adalah jangkitan dari luar negara manakala selebihnya jangkitan dalam kalangan tempatan.

Tambah beliau, sehingga Ahad lalu, sebanyak 1,571,345 kes varian Omicron dikesan di 169 negara.

Jelasnya, tiga negara iaitu United Kingdom (UK), Amerika Syarikat dan Denmark telah melepasi gelombang Omicron.

Manakala negara-negara ASEAN pula sehingga kini belum mencapai puncak gelombang varian berkenaan meskipun tren jangkitan menunjukkan peningkatan.

“Sementara itu, sebanyak 153 negara dengan 1,406,717 kes varian Omicron telah dilaporkan di laman sesawang Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID).

“Tiga negara telah melepasi puncak gelombang varian Omicron iaitu United Kingdom dengan 498,510 kes, diikuti oleh Amerika Syarikat 38,156 kes, dan Denmark 80,324 kes,” ujarnya.

Dr. Noor Hisham berkata, walaupun varian Omicron menghasilkan gejala lebih ringan namun beberapa langkah yang komprehensif perlu dilaksanakan bagi melandaikan lengkuk Covid-19 ini antaranya adalah memperkasakan komuniti dengan mempertingkatkan amalan kendiri dan penjagaan Prosedur Operasi Standard.

“Mengoptimumkan perkhidmatan Covid-19 Assessment Centre (CAC) di seluruh negara untuk rawatan pesakit bagi kategori 1 dan 2a dengan meningkatkan kapasiti virtual CAC.

“Kesiapsiagaan perkhidmatan hospital dalam rawatan pesakit kategori 2b ke atas; meningkatkan liputan vaksin Covid-19 dengan meningkatkan liputan dos penggalak vaksin dalam kalangan dewasa dan pertingkat liputan vaksin dalam kalangan kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun,” ujarnya.-MalaysiaGazette