Logo Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

KUALA LUMPUR – Bermula 1 Mac ini, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengurangkan kompaun bagi kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965 yang telah dimansuhkan sehingga 90 peratus.

Pengurangan kompaun berkenaan berlangsung sehingga 30 Jun 2022.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berharap inisiatif itu akan dapat membantu peniaga meneruskan perniagaan khususnya pada tempoh yang mencabar ini.

Dalam masa yang sama katanya, SSM agensi di bawah KPDNHEP turut meneruskan lima inisiatif yang telah diperkenalkan pada tahun lalu dengan melaksanakan penambahbaikan.

Inisiatif yang diteruskan termasuklah Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) yang kini ditawarkan kepada peniaga khususnya usahawan B40 dan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Menurut Alexander, SSM juga meneruskan pelaksanaan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) secara percuma yang diharapkan dapat menggalakkan golongan OKU menceburi bidang perniagaan secara sah.

“SSM akan melanjutkan tempoh masa pendaftaran SSM BizTrust kepada entiti-entiti perniagaan yang berdaftar dengan SSM secara percuma sehingga 31 Disember 2022,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Alexander, SSM mencadangkan pindaan bagi menambahbaik peruntukan-peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016 berkaitan mekanisma penyelamat korporat dan skim kompromi atau perkiraan.

“Jelas Alexander, penambahbaikan serta pindaan ini akan membolehkan syarikat-syarikat yang menghadapi masalah kewangan memohon proses rehabilitasi korporat yang bersesuaian agar syarikat boleh terus beroperasi (stay afloat).

“Inisiatif ini adalah penting untuk membantu sektor korporat yang menghadapi masalah kewangan, terutama sekali akibat dari kesan pandemik Covid-19 agar kekal beroperasi dan menjana ekonomi negara,”ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, RUU ini akan memperkenalkan peruntukan bagi mengukuhkan polisi berkaitan kerangka pelaporan pemunyaan benefisial yang komprehensif.

Inisiatif  terakhir diteruskan oleh SSM adalah peruntukan-peruntukan berkaitan mekanisma penyelamat korporat di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 bagi entiti Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) yang menghadapi masalah kewangan.

“Rang Undang-Undang ini bertujuan untuk menambahbaik kerangka perundangan sedia ada berkaitan rehabilitasi korporat bagi PLT. RUU ini juga akan memperkenalkan peruntukan mengukuhkan polisi berhubung kerangka pelaporan pemunyaan benefisial yang komprehensif,” kata beliau.-MalaysiaGazette