Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Foto MOHD ADZLAN, 11 FEBRUARI 2022.

PAGOH – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mendakwa pihaknya dihalang oleh sesetengah pihak untuk tidak mengedarkan risalah calon mereka.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, jenteranya yang terdiri daripada anak-anak muda cuba sebaik mungkin untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) namun halangan ini terbukti tidak membawa faedah kepada MUDA.

“MUDA nak beri risalah pun tak boleh, kami di MUDA akan ikut SOP cuma bagi rakyat biasa dan wartawan patut tunjukkan rasa belas kasihan sebab kita nak berkempen,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Syed Saddiq berkata demikian dalam sesi turun padang bersama calon MUDA, Nurafiqah M Zulkifli bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong di sekitar bandar Pagoh, hari ini.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut mendakwa jenteranya di DUN Bukit Permai turut diganggu.

Jelasnya, terdapat isu pilih kasih daripada pihak-pihak tertentu kepada parti-parti bertanding dan mensasarkan parti kecil seperti partinya.

“Semalam ada di Bukit Permai, isu fist bump. Saya katakan mana yang KKM saman jangan angkuh dan marah kerana mereka hanya pegawai dan buat kerja, tapi tanggungjawab kita untuk bawa pembaharuan dasar dan saya kata fist bump tak boleh saya kata kami boleh tunjuk video semua pelancaran BN, malah ada gambar peluk, tak kena saman pula.

“Bila parti kecik kami tidak ada duit, merka boleh saman RM1,000 parti besar duit berjuta tapi tidak kena tindakan,” jelasnya lagi.

Ini kali pertama MUDA meletakkan calon dan bertanding dalam PRN, selain Parti Pejuang Tanahair (Pejuang).

Ditanya mengenai perang poster dan gegantung yang mula dipasang di seluruh negeri Johor, Syed Saddiq berkata, pihaknya mengambil pendekatan untuk turun bersemuka dengan pengundi-pengundi di kerusi-kerusi yang ditandingi MUDA.

Langkah itu turut dilambil bagi memperkenalkan calon MUDA kepada pengundi-pengundi.

“Kita cuba sebaik mungkin untuk pasang bendara, banting tapi ikut kemampuan kita. Kita akui kita tidak ada duit yang banyak, tapi saya rasa lebih penting kita jumpa orang kampung, kedai-kedai.

“Daripada fokus pasang bendera, tapi tak tunjuk muka dan dengar kelah kesuh rakyat, itu tidak bermakna. Rakyat nak tengok muka calon dan pimpinan muda juga dan selesaikan masalah mereka, itu lebih penting daripada bendera,” katanya lagi.

MUDA sebelum ini memutuskan untuk meletakkan calon mereka di tujuh kerusi DUN iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai yang diberikan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) sebelum ini.

Parti itu turut meletakkan calon di DUN Larkin yang menyaksikan pertembungan dengan PKR.

Selain PKR, MUDA turut bertembung dengan Pejuang di kesemua kerusi yang ditandingi oleh mereka. – MalaysiaGazette