Nornekman Osman menyantuni penduduk di Amart Kempas.

JOHOR BAHRU – Meskipun DUN Kempas, N47 menyaksikan saingan tujuh penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, tetapi calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) untuk DUN itu tidak berasa gentar meneruskan perjuangannya.

Sebaliknya, Nornekman Osman yakin kelebihan yang terdapat pada dirinya dapat menyakini para pengundi untuk memilihnya.

Nornekman merupakan anak sulung kepada Allahyarham Datuk  Osman Sapian, bekas Menteri Besar Johor yang merupakan penyandang kerusi DUN Kempas

“Saya pun dahulu pernah bersama UMNO sebelum ini, ditambah pula dengan arwah ayah (Allahyarham Datuk Osman Sapian) telah beberapa penggal menjadi wkail rakyat di kawasan ini.

“Yang paling penting, parti yang saya wakili dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, seorang pemimpin yang berwawasan tinggi.

Timbalan Ketua Pejuang negeri Johor itu menambah, segala nasihat daripada arwah ayahnya serta darah politik yang mengalir dalam tubuhnya  turut menjadi kelebihan kepada beliau untuk menawan DUN Kempas.

“Arwah ayah selalu menasihatkan saya supaya menimba pengalaman secukupnya,” katanya yang berpengalaman berkhidmat dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Nornekman berkata,  beliau menghormati kesemua calon lain yang bertanding di DUN Kempas.

“Betul saya tidak gentar. Saya akan teruskan perjuangan. Dalam masa sama saya bersedia mendengar apa sahaja keluhan dan pandangan serta masalah akar umbi (DUN Kempas),” katanya.

Nornekman akan bersaing dengan enam calon lain iaitu  calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ramlee Bohani yang kalah kepada Allahyarham Datuk Osman pada Pilihan Raya Umum lepas.

Selain itu, Ketua Wanita Keadilan Johor daripada Pakatan Harapan, Napsiah Khamis Maharan dan calon Perikatan Nasional, Nur Faizal Abdullah.

Tiga calon bebas juga turut bertanding di DUN Kempas iaitu Mohd Azwan Abd Rahman, Hambali Munadi dan Mohd Suhimi A Rahman. – MalaysiaGazette