Pemain KL City FC, Daniel Sang Ting meraikan jaringan kedua pada perlawanan Liga Super 2021 diantara KL City FC menentang Sri Pahang FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Pertahanan kiri KL City FC, Daniel Ting dilaporkan bakal beraksi bersama pasukan baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2022.

Menerusi perkongsian Onefootball.my di laman media sosial Twitter, Daniel dijangka kekal di Lembah Klang namun memilih Selangor menjadi salah satu pasukan yang mungkin disertai oleh pemain itu.

“Daniel Ting to pasukan Lembah Klang? Which one? See and wait….red yellow maybe…,” ciapnya kelmarin.

Sebelum ini, pemerhati sukan, Zulhelmi Zainal Azam turut memuat naik ciapan Daniel mungkin akan menamatkan kontrak dengan KL City lebih awal setelah pemain itu dilaporkan berdepan masalah untuk kembali ke Malaysia.

Menurut Zulhelmi, pemain kacukan Malaysia-England itu sukar kembali ke Malaysia ekoran masalah peribadi sekali gus berdepan risiko kontraknya ditamatkan lebih awal.

“Daniel Ting satu-satunya pemain yang belum melapor diri bersama KL City FC setakat ini. Pemain kacukan Malaysia-England itu dikatakan sukar untuk kembali ke Malaysia atas faktor peribadi sekali gus berdepan kemungkinan kontraknya ditamatkan lebih awal menerusi ‘mutual agreement‘,” katanya di Twitter pada 12 Februari lalu.

Musim 2021 menjadi kebangkitan bagi Daniel Ting dalam saingan Liga M apabila kali terakhir beliau beraksi di negara ini ialah pada musim 2018 bersama PKNS FC atau kini lebih dikenali sebagai Selangor II.

Ketika itu, pemain yang dilahirkan di Cheshire itu membantu PKNS yang dikendalikan Datuk K.Rajagobal menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga selain mara ke peringkat separuh akhir Piala FA dan suku akhir saingan Piala Malaysia.

Daniel mengumumkan beliau meninggalkan PKNS pada akhir musim 2018 namun bukan untuk menyertai pasukan lain, malah bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT) II dan Negeri Sembilan itu dikhabarkan memilih untuk bersara.

Muncul sebagai pemain paling konsisten sepanjang musim 2021, Daniel tekad untuk mewakili skuad kebangsaan bagi saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang dilangsungkan pada Disember 2021 hingga Januari 2022.

Namun hajat beliau tidak menjadi kenyataan apabila ketua jurulatih skuad kebangsaan ketika itu, Tan Cheng Hoe memanggil pemain lain sekali gus Daniel tidak disenaraikan.

Sepanjang beraksi bersama KL City, pemain berusia 29 tahun itu berjaya membantu KL memenangi saingan Piala Malaysia musim 2021 dengan menewaskan JDT di pentas akhir. – MalaysiaGazette