Calon Perikatan Nasional (PN) N38 Penawar, Mohd Faizal Asmar menunjukkan projek perumahan Generasi ke-2 Felda yang terbengkalai hampir10 tahun ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di kawasan Papan Timur Kota Tinggi, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 FEBRUARI 2022.

KOTA TINGGI – Projek Perumahan Generasi Baru FELDA (PGBF) di Felda Papan Timur yang terbengkalai hampir 10 tahun boleh diselesaikan sekiranya komuniti tanah rancangan itu memilih orang tempatan berbanding orang luar mewakili mereka.

Itu jaminan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar, Mohd Faizal Asmar yang yakin dapat menyelesaikan masalah itu sekiranya terpilih dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Calon Perikatan Nasional (PN) N38 Penawar, Mohd Faizal Asmar ketika ditemubual khas bersama Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 di Felda Sungai Mas, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 28 FEBRUARI 2022.

Menurutnya, walaupun ketika belum menjadi ahli politik, bekas pemain bola sepak Johor itu telah membantu lebih 500 generasi kedua anak peneroka Felda Sungai Mas mendapatkan geran hak milik tanah untuk lot rumah sebelum ini.

“Semasa saya belum ada apa-apa jawatan, saya usahakan bersendirian tanpa orang percaya saya boleh buat atau tidak sehingga tertubuhnya Jawatankuasa Bertindak Felda Sungai Mas, akhirnya saya berjaya bantu 500 generasi kedua Sungai Mas dapat geran hak milik untuk lot rumah.

“Pelbagai hinaan dan cacian daripada penduduk Felda sendiri yang tidak percaya saya boleh buat, tapi akhirnya Allah permudahkan urusan saya, semua pemohon perolehi geran tapak rumah.

“Sebab itu saya yakin masalah PGBF Felda Papan Timur ini boleh diselesaikan, ada caranya, cuma ia berbeza di Felda Papan Timur, sudah ada bangunan tapi di Felda Sungai Mas hanya ada tapak rumah,” katanya dalam temubual khas bersama MalaysiaGazette di Felda Papan Timur hari ini.

Susulan kejayaannya membantu generasi kedua Felda Sungai Mas mendapatkan penempatan, Faizal komited untuk membantu keenam-enam tanah rancangan itu di dalam DUN Penawar untuk mengatasi masalah sama.

“Insya-Allah saya akan bantu Felda-Felda lain di dalam kawasan DUN Penawar atau pun Pengerang, sebab saya merangkap Ketua Bersatu Bahagian Pengerang.

“Selepas saya menang, saya akan membantu Felda-Felda lain dalam kawasan saya ini untuk dapat tapak rumah generasi kedua Felda, itu adalah hak anak generasi kedua Felda.

“Tiada siapa boleh menafikan hak mereka, kita kena perjuangkan susah payah pahit maung orang tua kita masa mula-mula masuk Felda dahulu,” katanya.

Antara projek perumahan Generasi ke-2 Felda yang terbengkalai hampir10 tahun ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di kawasan Papan Timur Kota Tinggi, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 FEBRUARI 2022.

Dakwanya, isu perumahan berulang setiap kali musim pilihan raya susulan kesilapan pengundi sebelum ini yang mengangkat wakil rakyat dari kawasan luar yang tidak memahami masalah mereka.

“Bila berlakunya pemilihan, semua wakil rakyat yang dipilih semua orang luar, dia tak tahu susah payah kita masa mula-mula masuk Felda, sebab itu mereka tidak boleh menyelesaikan masalah dalam DUN Penawar dan Pengerang.

“Hampir 20 tahun kami tunggu tiada satu masalah pun dapat diselesaikan wakil rakyat sebelum ini di kawasan ini.

“Wakil rakyat orang luar hanya memahami bantuan bakul makanan yang sebenarnya bukan tugas wakil rakyat, sesiapa pun boleh bagi bantuan bakul makanan

“Wakil rakyat ini kita kena bawa suara rakyat ke atas, kita kena selesaikan masalah dan aduan mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast