Tan Sri Abdul Hamid Bador melambai tangan pada sidang media terakhir sebagai Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador telah hilang hak untuk membuat sebarang ulasan berkenaan isu kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) .

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Sidek Hassan berkata, ini kerana Hamid membuat dakwaan tanpa mengemukakan bukti dan dalam masa yang sama tidak menamakan pegawai yang terlibat dengan isu kartel.

Dalam masa yang sama, beliau berkata bekas Ketua Polis Negara (KPN) itu tidak pernah membangkitkan isu berkenaan dalam mana- mana mesyuarat melibatkan Pengarah-Pengarah Jabatan PDRM Bukit Aman ketika menyandang jawatan KPN.

“Beliau mengakui selaku Ketua Polis Negara tidak pernah membangkitkan mengenai isu kartel ini dalam mana-mana mesyuarat melibatkan Pengarah-Pengarah Jabatan PDRM Bukit Aman,” katanya menerusi kenyataan bersama barisan kepimpinan tertinggi suruhanjaya berkenaan.

Justeru katanya, Hamid dianggap tidak mengambil tindakan sewajarnya sebelum ini ketika masih menjadi KPN.

“Beliau selaku KPN sepatutnya mengarahkan pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk menjalankan siasatan secara terperinci dan tindakan sewajarnya perlu diambil terlebih dahulu sebelum isu kartel ini didedahkan kepada pihak media.

“Sebaliknya beliau tidak memberikan keterangan kepada pihak JIPS Bukit Aman supaya isu kartel ini dapat disiasat dan diselesaikan dan beliau selaku KPN tidak pernah membangkitkan isu kartel ini dalam Mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP),” tambah EAIC.

Beliau berkata demikian bagi menyangkal kenyataan Hamid yang mengatakan dapatan EAIC sebagai ‘cetek dan tidak betul’.

Malah katanya, terdapat saksi dalam siasatan EAIC yang menyatakan dakwaan yang dibuat Hamid pada saat akhir sebelum kontrak beliau sebagai KPN tamat pada Mei 2021 menimbulkan persoalan terhadap motif dan tujuan pendedahan tersebut.

Tambah beliau, bekas KPN itu juga enggan untuk dirakam percakapan lanjut bagi mendapatkan penjelasan berkenaan dengan isu-isu ini.

Sidek Hassan sebelum ini berkata, dakwaan Abdul Hamid bahawa wujud isu kartel dalam PDRM tidak dapat disahkan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast