KUALA LUMPUR – Penggunaan bahasa Melayu pada acara rasmi di luar negara akan meletakkan kedaulatan, kemuliaan dan
kedudukan bahasa itu di peringkat antarabangsa.

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, para perwakilan rasmi Malaysia di peringkat antarabangsa khasnya pejabat Pesuruhjaya Tinggi dan Kedutaan serta Konsulat Malaysia dapat
memainkan peranan yang proaktif dalam menyebarluaskan proses pengantarabangsaan bahasa Melayu.

“Jabatan Atace Pendidikan perlu diberi peranan untuk mempertingkat penyebaran tersebut, disamping diwujudkan jawatan guru bahasa di jabatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu rakyat Malaysia memperkasa bahasa Melayu.

Pada Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu Bahasa Melayu digunakan dalam urusan rasmi negara, termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan bahasa tersebut.

Perdana Menteri berkata, beliau telah menggunakan Bahasa Melayu ketika mesyuarat dua hala dan sidang media bersama, ketika melakukan lawatan rasmi ke Brunei serta Kemboja dan yang terbaharu, Thailand.

Menurut Zainal Abidin, acara-acara rasmi pada peringkat antarabangsa merupakan acara yang berkala dan apa yang lebih utama ialah usaha yang berterusan dan berkesan dilakukan bagi mengantarabangsakan Bahasa Melayu.

Tambah beliau, satu lagi tindakan segera yang boleh dilakukan ialah menubuhkan Bahagian Bahasa Melayu Antarabangsa di Dewan Bahasa dan Pustaka yang berfungsi seperti British Council.

Zainal Abidin berkata, masih ramai warganegara Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu walaupun ianya bahasa kebangsaan negara.

Oleh itu, jelasnya, tindakan yang sewajarnya yang menuntut ketegasan perlu dilakukan supaya semua warganegara Malaysia fasih berbahasa kebangsaan. – MalaysiaGazette