Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Faiz Fadzil menyifatkan tuduhan seorang pemimpin Pas berhubung kenyataannya mengenai isu kontroversi hak penjagaan anak melibatkan Loh Siew Hong baru-baru ini, sebagai fitnah dan berniat jahat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu menegaskan, kenyataannya adalah berdasarkan kepada pandangan undang-undang hari ini, bahawa penukaran agama bagi kanak-kanak bawah umur 18 tahun memerlukan kebenaran kedua pihak iaitu ibu dan bapa.

Bagaimanapun, tegas beliau, Yang Dipertua Pas Kawasan Permatang Pauh, Omar Hassan ketika menjawab ulasan beliau telah memesong kenyataan itu dengan menyifatkannya hendak menjaga undi bukan Islam dan sebagai bukti kesetiaannya kepada DAP.

Katanya, berdasarkan undang-undang yang dinyatakan itu adalah tepat kerana penukaran satu pihak oleh ibu atau bapa tidak dibenarkan dan boleh dibatalkan oleh mahkamah.

“Di mana salahnya kenyataan saya itu? Saya ingin bertanya kembali, apa salahnya saya menyatakan maksud ayat al-Quran bahawa tiada paksaan dalam agama (Surah Al-Baqarah:256)?

“Saya menegaskan, tidak pernah sama ada melalui mulut, jari atau hati menyokong mana-mana orang Islam dimurtadkan.

“Oleh itu, Pas diingatkan tidak memutar-belit kenyataan saya semata-mata untuk meraih sokongan politik murahan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Khamis lalu, Pas Permatang Pauh menyatakan rasa kecewa dan kesal berhubung kenyataan Faiz berhubung status tiga kanak-kanak mualaf yang sedang hangat melanda negara ketika ini.

Omar melihat tindakan ADUN itu hanya kerana ingin menjaga undi bukan Islam serta sebagai bukti kesetiaannya kepada DAP lebih menjadi keutamaan daripada isu melibatkan akidah umat Islam dan amat malang bagi masyarakat Islam pengundi DUN Permatang Pasir, Permatang Pauh.

Katanya, Pas Permatang Pauh melihat isu itu sebagai usaha Faiz untuk menunjukkan sikap kononnya ‘Rahmatan Lil Alamin’, tetapi sebenarnya membuktikannya hanya boneka dan menjadi alat DAP untuk terus bersikap biadab terhadap Islam bila mana kenyataan Timbalan Ketua Menteri, P.Ramasamy secara jelas mengeluarkan kenyataan provokatif terhadap institusi Islam dalam hal kemasukan tiga anak-anak ini ke dalam Islam.

Menurut Faiz yang juga Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), beliau tetap berpendirian, keislaman anak-anak tersebut perlu dipertahankan.

Seharusnya, kata beliau, pihak berkuasa berunding secara baik dengan ibu mereka dan menawarkan khidmat kebajikan supaya isu berkenaan tidak diapi-apikan dan keislaman mereka terpelihara walaupun dijaga oleh ibu berdasarkan perintah mahkamah.

“Adalah menyedihkan jika keislaman mereka dibatalkan oleh mahkamah, dan jika ini berlaku, siapa yang harus dipersalahkan?

“Nabi Muhammad SAW telah menunjukkan contoh teladan terbaik melalui tutur bahasa yang baik dan rundingan damai dapat mengharmonikan keadaan dan menguntungkan Islam.

“Sirah perjanjian Hudaibiyah banyak hikmahnya jika kita bijak menilai dan memahaminya kerana struktur sosial Malaysia yang berbilang agama dan kaum (majmuk),” katanya.

Beliau menegaskan sekali lagi, kenyataannya itu bukan bersifat politik, sebaliknya politik nilai dan khidmat serta agenda keadilan sosial dan demokrasi yang diperjuangkannya akan menjadi pertimbangan rakyat untuk menyokong beliau.

“Saya tidak memilih agenda politik sentimen murahan seperti Pas untuk meraih sokongan rakyat pelbagai kaum,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Padan muka Pak Pandir politikus kemaruk undi pekerja warga asing timah dan getah yang menguntungkan ekonomi penjajah Inggeris. Negara kecil Qatar, UAE, dan Kuwait makmur tanpa harapkan undi pekerja warga asing sehingga cucu-cicit yang memperkayakan pribumi mereka.

Comments are closed.