Abdul Samad Ashaari

KUALA LUMPUR – Parti Berjasa mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan itu.

Kata Naib Presidennya, Abdul Samad Ashaari, perkara itu seharusnya dilaksanakan sejak awal merdeka lagi.

Namun, ramai tidak tahu ketika ini teks sahih bagi Perlembagaan Persekutuan ditulis dalam bahasa Inggeris walaupun Malaysia sudah 64 tahun mencapai kemerdekaan.

“Sudah jelas termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa rasmi digunakan dalam urusan kerajaan ialah bahasa Melayu.

“Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2003, memainkan peranan penting dalam usaha mengeluarkan teks Melayu yang sahih dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sudah sampai masanya sistem perundangan negara merujuk kepada teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Malaysia menggantikan bahasa Inggeris,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bercakap pada sidang media bersama wartawan Malaysia sempena lawatan rasmi tiga hari ke Bangkok, Thailand Sabtu lalu, Ismail Sabri dilaporkan berkata, beliau telah menggunakan Bahasa Melayu ketika mesyuarat dua hala dan sidang media bersama, ketika melakukan lawatan rasmi ke Brunei serta Kemboja sebelum ini dan terbaharu di Thailand.

“Sebelum ini, saya telah menyatakan, dalam setiap urusan rasmi kerajaan, kita perlu menggunakan Bahasa Melayu. Rundingan saya di luar negara juga merupakan urusan rasmi kerajaan. Sebab itu, saya menggunakan Bahasa Melayu,” kata Perdana Menteri.

Menurut Abdul Samad, pengumuman itu sudah tentu akan memberi impak yang besar dalam sistem perundangan dan kehakiman di Malaysia.

Namun, katanya, langkah kerajaan untuk memartabatkan bahasa Malaysia perlu direalisasikan dengan penggunaannya di mahkamah dan dalam sistem perundangan negara.

“Amat memalukan, walaupun sudah lebih 64 tahun merdeka, kita masih menjunjung teks Perlembagaan Persekutuan berbahasa Inggeris dan mengetepikan langsung teks berbahasa kebangsaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette