MERSING – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang merancang untuk mewujudkan pasar borong khas nelayan berskala besar di perkampungan nelayan seluruh negara.
Menterinya Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, inisiatif itu bertujuan memudahkan nelayan mengagihkan hasil tangkapan laut tanpa campur tangan serta pengaruh orang tengah.
Katanya, dominasi orang tengah telah menjejaskan pendapatan nelayan.
“Untuk menangani masalah ini kita sudah merancang untuk mewujudkan pasar borong khas untuk nelayan mengumpul dan mengagihkan hasil tangkapan mereka terus kepada pengguna.
“Mekanisme dan kerangka kerja pasar borong khas nelayan ini sudah ada dan oleh kerana ia membabitkan dua kementerian maka MAFI akan mengadakan perbincangan mendalam bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwan Pengguna (KPDNHEP),” kata beliau ketika ditemui pemberita di sini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah Dialog Agromakanan 2022 di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Endau, di sini.
Tambah Ronald lagi, kementerian itu akan menghantar permohonan peruntukan bagi pembangunan pasar borong khas nelayan itu kepada KPDNHEP kerana peruntukannya akan disalurkan menerusi kementerian itu dan penggunaannya akan diberikan kepada komuniti nelayan.
Menurutnya, mekanisme projek itu sudah ada di tangan tetapi sebelum ini kerajaan akan mengkaji secara mendalam terlebih dahulu sama ada ia adalah pendekatan terbaik untuk menyelesaikan isu pasaran ikan dan orang tengah di negara ini.
“Rancangan ini masih berada dalam peringkat awal dibincangkan dengan KPDNHEP dan sekiranya positif kita akan mengusulkan kepada kerajaan untuk tindakan lanjut dan program-program sedia ada akan disyorkan kelak.
“Kita juga mahu memastikan sejauh mana perkara ini dapat ,membantu kita dari segi tambah nilai sektor perikanan,” ujar beliau.
Dalam perkembangan sama, Ronald juga mengakui pengaruh orang tengah turut berlaku dalam sektor pertanian dan pemakanan.
Sebab itu, isu ini ditangani oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) selaku agensi pemasaran pemakanan yang bertanggungjawab membangunkan dasar pusat pengumpulan makanan dan hasil pertanian.
“Ia adalah langkah efektif untuk mengurangkan pengaruh atau campur tangan orang tengah, sekali gus memastikan pengeluar pertanian berurusan secara langsung dalam sektor pemasaran tanpa gangguan,” tambahnya. – MalaysiaGazette