Calon BN DUN Kahang, R Vidhyananthan

SEMBRONG – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang, R. Vidyananthan yakin dengan prestasinya selama tiga penggal berturut-turut bergelar wakil rakyat.

Malah penyertaan beberapa parti baharu yang bertanding di DUN Kahang tidak menggentarkannya.

Ini kerana beliau sedar pengundi sudah kenal siapa pemimpin yang ada masa susah dan senang dan yang hanya hadir pada musim pilihan raya.

Sebaliknya bukan sahaja prestasi sebaliknya parti dalam Barisan Nasional (BN) yang sudah berkhidmat untuk rakyat Malaysia bukan dalam tempoh singkat  adalah bukti keupayaan komponen itu menerajui negeri ini sekaligus negara.

Kata Vidyananthan kepada MalaysiaGazette, beliau bukan  bongkak sebaliknya cukup memahami pengundi di kawasan itu yang bersamanya selama berbelas tahun.

“Saya sudah lama di sini, saya bersyukur dan cukup teruja apabila Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Hussien masih lagi mempunyai keyakinan tinggi terhadap keupayaan saya untuk terus berkhidmat kepada penduduk Kahang.

“Saya tidak kisah berapa penjuru sekali pun pertandingan di kawasan ini, pada saya, tanggungjawab dan peranan saya sebagai wakil rakyat dan suara untuk warga Kahang telah saya laksanakan sedaya yang mungkin, kini terpulang pada pengundi serta masyarakat di sini.

“Saya yakin diri saya wakil kepada warga Kahang ini telah sedikit sebanyak memberikan impak kepada pengundi, selebihnya kita serahkan kepada mereka untuk buat keputusan memandangkan mereka tahu keupayaan kita untuk berpuluh tahun, pihak lawan selama 22 bulan,” katanya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kangkar Kahang Barat hari ini.

Bagi DUN Kahang, pertandingan empat penjuru antara Vidyananthan yang juga bekas exco kerajaan negeri dengan Daud Yusof (PN), Rohani Banu Abd Rahman Krishnan (PH) dan Rosdi Amir (Pejuang).

Sebelum ini, Vidyananthan telah menewaskan calon PKR, Norlihan Ariffin dengan majoriti 2,861 pada Pilihan Raya Umum 2018.

Kata Vidyananthan yang juga Pengerusi MIC Johor, walaupun sehingga kini tidak pasti apakah sebenarnya sentimen golongan pengundi muda sekitar hampir 3,000 di kawasan itu namun pada masa sama yakin keputusan akan menyebelahinya dan BN.

“Benar kita ada pengundi muda yang mendaftar automatik, belum tentu juga jika pengundi putih bermakna golongan ini juga akan menyokong kita. Namun PRN ini akan dapat memberikan satu isyarat jelas kepada semua tentang kumpulan ini selepas keputusan pada 12 haribulan ini.

“Bukan sahaja saya tapi rata-rata pemimpin mahu pun parti masih lagi belum dapat memberikan satu jangkaan yang tepat. Bagaimanapun saya yakin, golongan muda juga sebenarnya sudah celik dan kini lebih memahami politik berbanding dulu,” katanya.

Menurutnya, pembangkang atau pihak lawan juga tidak boleh selalu menggunakan fitnah atau janji retorik seperti dulu lagi kerana apabila kerajaan diubah ramai juga rakyat terkesan kerana semuanya tidak benar dan hanya mahu meraih undi semata-mata. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast