Suasana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dilihat kurang mendapat sambutan meskipun kerajaan telah membenarkan pemberian vaksinasi dos penggalak secara ‘walk-in”. Tinjauan lensa Malaysia Gazette mendapati, hanya beberapa individu sahaja yang kelihatan pada satu-satu masa bagi menerima suntikan dos tersebut dan keadaan di PPV Integrasi juga lengang tidak seperti sebelum ini di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 15 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menerima 45 laporan kematian berkaitan kesan mudarat berikutan imunisasi (AEFI) yang melibatkan dos penggalak.

Bagaimanapun, menerusi penilaian Jawatankuasa Khas Farmakovigilans Vaksin Covid-19 (JFK), berdasarkan laporan yang diterima sehingga 25 Februari yang lalu, sebanyak 22 kes kematian yang dilaporkan tiada hubung kait dengan vaksin yang diterima.

Manakala, laporan selebihnya masih dalam proses untuk dilengkapkan sebelum boleh dibentangkan untuk penilaian oleh JFK.

Dalam masa yang sama, NPRA turut menerima 94 laporan AEFI melibatkan kalangan kanak-kanak yang telah divaksin berusia lima hingga 11 tahun.

Jelas Pengarah NPRA Dr. Roshayati Mohamad Sani, hanya dua laporan serius diterima, selain itu 97 peratus adalah kesan tidak serius.

“Kesan paling kerap dilaporkan ialah demam, stres terhadap suntikan atau proses vaksinasi, reaksi kegatalan pada kulit, pening dan sakit kepala,” katanya menerusi kenyataan.

Sehingga 25 Februari lalu sebanyak 14,369,227 dos penggalak telah diberikan.

Selain itu, 751,928 dos vaksin Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection (Pfizer-BioNTech) telah diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun. – MalaysiaGazette