Calon BN DUN Mahkota, Datuk Sharifah Azizah.

KLUANG – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain bukanlah muka baharu di Parlimen Kluang sebaliknya sudah turun temurun tinggal di sini.

Malah, bapanya Allahyarham Datuk Syed Zain Al Shahab merupakan Ketua UMNO Bahagian Kluang yang pertama di negara ini.

Mungkin itu juga antara sebab utama sejak lahir sehingga saat ini, Sharifah yang juga Ketua Wanita UMNO Kluang sejak 1993 sudah sebati dengan dunia politik dan bergelumang dengan kebajikan serta perjuangan untuk masyarakat setempat.

“Ini bukanlah kali pertama saya bergelar ADUN kerana sebelum ini pada 2018, saya telah diminta oleh parti untuk bertanding di DUN Penawar pada PRU-14 dan menang di situ. Kali ini saya bersyukur apabila diberikan peluang untuk bertanding di tempat sendiri, Kluang ini tempat tumpahnya darah saya.

“Penglibatan saya dengan UMNO juga sudah berpuluh-puluh tahun lamanya, kehidupan saya sentiasa sibuk dalam berjuang dan menjaga kebajikan penduduk, tidak kira siapa. Nama sahaja UMNO tapi yang datang kepada saya semuanya mempunyai pelbagai latar belakang, agama dan kaum.

“Langsung tidak timbul soal tiba-tiba saya bertanding di DUN Mahkota  kerana rata-rata penduduk dan pengundi kenal saya. Malah saya lebih mesra disapa dengan panggilan ‘Ummi’ dalam kalangan masyarakat sini,” katanya membuka bicara kepada MalaysiaGazette di rumahnya hari ini.

Kata Sharifah, pengalaman luas dalam dunia politik selain pernah menjadi ADUN selain pelbagai jawatan lain termasuklah Ahli Dewan Negara, Ketua Wanita Johor pastinya akan membantunya dalam memberi perkhidmatan terbaik sebagai wakil rakyat jika menang.

Jelas Sharifah, sejak kerajaan BN jatuh pada 2018, rata-rata rakyat sudah mengenali warna sebenar pihak lawan yang banyak menabur pelbagai janji selain melakukan fitnah terhadap parti itu namun kini ramai menyedari kesilapan itu.

“Saya tidak pandai retorik, tidak juga akan berjanji bulan bintang kerana selama ini sudah lama berkecimpung dalam politik yang fokusnya adalah menjaga kebajikan rakyat kita, ini bukan masa untuk saya berkempen sebaliknya menyedarkan umum tentang realiti pada hari ini.

“Saya akan pastikan semua perkhidmatan saya di DUN Penawar itu saya gandakan di DUN ini, saya tidak akan sesekali lupa malah begitu teruja kerana ini adalah tempat legasi allayarham ayah saya dan saya akan terus pelihara namanya sehingga bila-bila,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Sharifah lagi, beliau sebagai calon wanita veteran tidak akan sesekali gentar dengan calon-calon lain malah kaum hawa juga memainkan peranan semak dan imbang dalam politik negara.

“Pengundi kini kenal pemimpin mereka, siapa yang benar-benar berkhidmat untuk mereka.

“Sebelum ini ramai pengundi mengundi kerana emosi, saya tidak cakap tetapi pengundi dan masyarakat yang bercakap dengan saya, meluahkan perasaan mereka,” katanya.

DUN Mahkota akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru iaitu Sharifah dari BN, Mohamad Nor Lingan daripada Perikatan Nasional (PN), Muhammad Taqiuddin Cheman mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Mohamed Noor Suleiman daripada Parti Warisan (Warisan).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DUN Mahkota dimenangi oleh PH dari Amanah, Muhamad Said Jonit dengan undian sebanyak 19,507 mengalahkan calon BN Datuk Md Jais Sarday dan PAS, Muhammad Hasbullah Md Najib. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast