Dari kiri: Muhammad Hanis Asmui Md Salleh, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Steven Choong Shiau dan Mohd Azmi Ali.

KUALA LUMPUR – Calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan menyokong mana-mana parti yang berjaya membentuk kerajaan negeri  nanti.

Calon PBM Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Steven Choong Shiau Yoon berkata, dengan hanya empat calon PBM bertanding adalah mustahil untuk parti itu membentuk kerajaan negeri.

Justeru parti itu telah menetapkan pendirian untuk calonnya  menyokong kerajaan semasa.

“Jadi tidak kiralah kerajaan yang ditubuhkan antara PH atau campuran mana-mana kerana kalau menang pun empat kerusi sahaja kita tidak boleh tubuh kerajaan sendiri. Jadi kita hanya boleh sokong kerajaan yang akan ditubuhkan.

“Kita tidak tahu itu kerajaan apa. Macam kerajaan pusat kerajaan Keluarga Malaysia kerana merangkumi semua parti. Kita sokong kerajaan semasa,” katanya.

Selain Steven, PBM meletakkan tiga lagi calon iaitu Muhammad Hanis Asmui Md Salleh (DUN Maharani); Mohd Azmi Ali (DUN Tiram) dan Muhammad Saiful Bahari Sahari (DUN Stulang).

Bagaimanapun menurut Steven, terpulang kepada parti yang akan membentuk kerajaan sama ada mahu menerima sokongan atau tidak daripada calon PBM yang menang.

“Kita akan sertai kalau yang tubuh kerajaan itu terima kita kerana ia mesti dua hala.

“Kita akan sampaikan hasrat untuk sokong. Jadi terima atau tidak ia bergantung kepada kerajaan yang ditubuhkan,” kata Steven yang merupakan Ahli Parlimen Tebrau.

Steven dan tiga calon PBM hari ini mengadakan sidang akhar di Pusat Media Jabatan Penerangan di sini bagi memperkenalkan calon parti itu.

Ahli Parlimen Tebrau itu percaya walaupun tidak lagi bersama PKR beliau yakin penduduk DUN Puteri Wangsa akan memberikan sokongan terhadapnya dalam PRN Johor nanti.

Dalam sidang akhbar itu, Steven berkata, beliau telah dipecat daripada PKR selepas dua jam menyuarakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri pada Februari 2021.

Beliau bersama dengan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Larry dan beberapa pemimpin PKR yang meninggalkan parti itu kemudiannya membentuk PBM pada 27 Oktober 2021.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast