Calon Barisan Nasional DUN Kahang, R. Vidyanathan melawat masyarakt orang asli di Kampung Seri Tanjung, Kahang bersama pengamal media.

KAHANG – Penduduk di Kampung Orang Asli Punjut menuntut hak kebebasan mereka yang berstatuskan orang asli dapat dikembalikan semula seperti mana dinikmati ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Dakwa mereka, setelah perubahan tampuk pemerintahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) yang lalu terlalu banyak sekatan dikenakan sehingga menyekat sumber pendapatan mereka.

Wakil Tok Batin, Tenggara Jaafar, 43, berkata, kebanyakan orang asli di sini bekerja sebagai pekebun di ladang sawit dengan geran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan meminta agar hasil kutipan buah sawit mereka ini boleh dijual kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) tanpa ada sebarang sekatan.

“Harapan kami tinggi, yang mana kami mahu kerajaan yang dahulu iaitu kerajaan Barisan Nasional sebab lahir saya sahaja.

“Kerajaan BN yang sempurnakan segalanya, jadi harapan saya untuk PRN kali ini biarlah BN memerintah kerana tidak halang kebebasan masyarakat orang asli.

“Kalau kerajaan hari ini tidak pasti, terlalu banyak sekatan dibuat pada kami sehingga hasil pendapatan juga terjejas. Hasil yang kami perolehi dari kebun sawit dari tanah yang tidak bergeran, hanya menggunakan geran JAKOA.

“Sebelum ini kami boleh keluarkan hasil menggunakan lesen PORLA, namun hari ini lesen PORLA kami tidak boleh diperbaharui disebabkan tiada nombor koordinasi tanah dan juga sijil penghasilan sawit itu sendiri.

”Jadi di sini dah nampak satu sekatan bagi kami untuk mengeluarkan hasil di atas tanah yang tidak bergeran. Kami harap pada kerajaan dapat selesaikan masalah kami,” katanya.

Penduduk Kampung Orang Asli Kunjut Ramlan Adong.Dalam pada itu, Tenggara juga memohon wakil rakyat yang akan diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri Johor (PRN Johor) agar dapat menambah kuota rumah di sekitar kediaman mereka.

Ini kerana mereka kini hidup berhimpit dan berkongsi bumbung hampir tiga buah keluarga dalam satu rumah yang bersaiz kecil, sekali gus membuatkan kehidupan mereka tidak selesa terutama bagi pasangan yang sudah berkahwin.

Wakil Tok Batin, Tenggara Jaafar, 43, menaruh harapan agar Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dibina dan rumah lama dibaik pulih.

“Kebanyakan anak muda yang sudah berkahwin menumpang di rumah ibu bapa sebab itu ada satu rumah terdapat dua atau tiga buah keluarga tinggal sebumbung.

“Kami mahu kerajaan yang dipilih nanti bina rumah untuk generasi kedua kami supaya mereka boleh berdikari kerana mereka sudah berkahwin,” katanya.

Sementara itu, Ramlan Adong, 51, yang juga penduduk di kampung itu berkata, bantuan kepada masyarakat orang asli di sini perlu dihulurkan secara terus tanpa sebarang pilih kasih dan bukannya hanya diberikan ketika mereka ingin meraih undi ketika pilihan raya diadakan.

“Kalau daripada segi bantuan itu lambat sangat, ibarat baru nak undi, bantuan barulah ingin hadir semua. kita tidak mahu jadi macam itu. Apa yang mahu keikhlasan seperti apa yang kita mohon itu jangan lambat sgt, sebab kita sudah beri keyakinan pada parti yang disokong itu.

“Masyarakat orang asli di sini memang tetap sokong BN, kita tidak akan ubah kepercayaan kita pada BN dan harap BN dapat membantulah org asli sepenuhnya, sebab orang asli ini tidak boleh dikecewakan, kalau kecewa pada satu parti itu, memang kita tidak layan. Itu prinsip orang asli,” katanya.

Ketua Kampung Seri Tanjung, Jais Syed.

Lain pula bagi masyarakat orang asli di Kampung Seri Tanjung yang berharap agar kelulusan membuat jambatan dari kebun sawit mereka ke kampung mereka dapat disegerakan oleh wakil rakyat di kawasan itu.

Menurut Ketua Masyarakat kampung itu, Jais Syed, 61, berkata, mereka perlu mengambil masa hampir satu jam jika ingin melalui jalan lain untuk membawa keluar hasil buah sawit.

“Kami di sini amat memerlukan jambatan itu untuk laluan mengambil buah sawit sebab ia berdekatan dengan kampung kami di sini dan sekarang menjadi masalah kerana laluan di situ terpaksa melalui kebun orang lain.

“Hal ini sudah kami ketengahkan kepada wakil penduduk dan sedang menunggu surat kebenaran untuk dibawa ke peringkat KEJORA supaya mendapat kelulusan pembinaan jambatan yang akan menjadi laluan utama kami mengutip buah.

”Jika jambatan itu dibina hanya 10 minit sahaja dari kawasan rumah kami untuk membawa keluar buah sawit. Kalau ikut laluan lain, ia jauh dan memakan masa hampir satu jam, ini membebankan kami di sini,” ujar beliau.

Dewan Undang Negeri (DUN) Kahang mempunyai sebanyak sembilan perkampungan orang asli dengan jumlah keseluruhan pengundi bagi orang asli di kawasan itu lebih 500 orang.

DUN Kahang menyaksikan persaingan empat penjuru di antara bekas Exco kerajaan negeri yang juga penyandang DUN Kahang, R Vidyanathan (BN) berdepan dengan pencabar dari calon Perikatan Nasional (PN) Daud Yusof, Rohani Banu Abd Rahman Krishnan (calonPH) dan Rosdi Amir (calon PEJUANG). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast