Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebenarnya tidak perlu menjual aset kewangan pegangannya ke dalam pasaran bagi mencairkan aset untuk pelaksanaan i-Citra..- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa kerajaan mempertimbangkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara sekaligus kepada rakyat buat kali terakhir selepas dividen sebanyak 6.10 peratus diumumkan pada hari ini.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, dividen kali ini kali ini adalah lebih tinggi berbanding sebelum pandemik bermula, yang pernah mencecah 5.45 peratus.

Justeru katanya, kerajaan patut mempertimbangkan pengeluaran KWSP buat kali terakhir, seperti yang dituntut rakyat.

“Rakyat bukan sahaja terhimpit akibat Covid-19, hilang pekerjaan, perniagaan merudum, malah kini berhadapan dugaan bencana alam seperti banjir besar.

“DPIM berharap Kerajaan yang berteraskan semangat Keluarga Malaysia akan benar-benar memberikan keutamaan kepada kebajikan rakyat Malaysia. Pengeluaran KWSP oleh rakyat yang terkesan, mampu memberikan sinar baharu kepada kami,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Shahir, strategi pelaburan di luar negara KWSP memberi kebaikan kepada pencarum selepas mencatat pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM 67.06 bilion.

Tambah beliau, berdasarkan laporan kewangan KWSP, ekuiti luar negara merekodkan pulangan pelaburan (ROI) sebanyak 10.44 peratus dan ia merupakan penyumbang utama pulangan.

“Setakat Disember 2021, sekitar 37 peratus daripada aset pelaburan KSWP adalah di luar negara dan merentasi pelbagai aset. Oleh yang demikian, DPIM menyeru kerajaan memperkasakan strategi pelaburan KWSP untuk jangka masa panjang,” katanya. – MalaysiaGazette