Calon N49,Pak Andak Ahmad menyantuni penduduk di sekitar Islandar Puteri petang tadi.

ISKANDAR PUTERI – Pembangunan  membabitkan golongan berpendapatan rendah B40 akan diberi perhatian supaya  selari dengan kemajuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar.

Calon Barisan Nasional (BN) Pak Andak Ahmad berkata, beliau akan memberi tumpuan memajukan kehidupan B40 di kawasan berkenaan supaya wujud keseimbangan antara penduduk dan pembangunan.

Katanya, langkah itu penting untuk memastikan penduduk kawasan berkenaan tidak ketinggalan dalam bidang sosio ekonomi, pendidikan di luar bandar termasuk peluang perniagaan yang bakal dibangunkan di situ.

“Kerana ramai lagi golongan B40 ini selepas pandemik merekalah yang rasa dan terkesan dengan apa yang berlaku.

“Saya harap saya dipilih sebagai ADUN kali ini dan fokus utama saya ialah peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat di Kota Iskandar ini “katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perancangan sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat bagi DUN Kota Iskandar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac ini.

Katanya, Kota Iskandar antara ‘ikon’ yang maju dan moden di tengah-tengah bandar raya termasuk kedudukan pejabat kerajaan  di kawasan berkenaan.

“Sudah tentunya di kawasan Kota Iskandar ini merupakan pesat membangun yang mana ada bandar, semi bandar dan perkampungan.

“Harapan saya pembangunan itu dapatlah dirasai dan seiring dengan bandar dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata, hampir 30 peratus penduduk di DUN Kota Iskandar masih di bawah B40.

Selain itu, calon N49 itu turut bercadang ingin menaik taraf klinik kesihatan kecil kepada poliklinik seperti di Taman Universiti.

Jelasnya, beliau akan mencadangkan kepada kerajaan setiap pembangunan mengambil kira peluang kepada penduduk sekitarnya.

“Sebagai contoh di bandar Nusajaya ada perkampungan tradisional seperti di Sungai Melayu, Pendas dan di Kampung Melayu Gelang Patah itu sendiri.

“Kita sudah cuba di kampung Sungai Melagu sebagai gerak kerja untuk menjadikan eco pelancongan di mana ada bandar tetapi di situ ada sumber pendapatan tambahan. Saya nak lakukan di Tanjung Kupang di situ ada kampung nelayan jadi kita nak jadikan hub di Tanjung Kupang,”katanya.

Terdapat seramai 116,000 pengundi di Kota Iskandar di mana 56,000 merupakan pengundi Melayu, 40,000 pengundi Cina, 16,000 pengundi India dan 2,000 lain-lain bangsa. – MalaysiaGazette