Wan Junaidi Tuanku Jaafar LKAN Auditor-General's Report punitive
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengesahkan “tiada elemen kesalahan” dilakukan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa menawarkan jawatan politik dan kedudukan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai pertukaran sokongan politik.

Dalam jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar kepada Teo Nie Ching (PH-Kulai), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasat audio mirip suara Muhyiddin berhubung kes itu.

“SPRM telah lengkap menjalankan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan berhubung isu yang dibangkitkan itu.

“Untuk makluman Yang Berhormat, hasil siasatan mendapati tiada elemen kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694),” katanya sebagaimana dilaporkan FMT, hari ini.

Pada Mei 2020, selepas Langkah Sheraton berjaya menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), satu akaun Facebook yang dikaitkan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan satu rakaman audio yang didakwa dirakam pada mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada 23 Februari 2020.

Dalam rakaman itu, seorang lelaki yang suaranya didakwa mirip dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin, didengar mengatakan bahawa Ahli Parlimen UMNO akan bergabung dengan Bersatu jika mereka ditawarkan jawatan menteri atau jawatan dalam GLC.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Wan Junaidi turut menjelaskan siasatan terhadap bekas Pengerusi Prasarana Berhad, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman juga telah selesai.

“SPRM telah selesai menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak itu. Hasil siasatan mendapati tiada keterangan melibatkan salah guna kuasa dan rasuah yang berlaku,” katanya.

Pada 27 Mei tahun lalu, Tajuddin ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa ketika mengetuai Prasarana.

Bagaimanapun, beliau dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas memberi keterangan.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, siasatan terhadap Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr. Xavier Jayakumar masih berjalan.

“SPRM tidak dapat mendedahkan butiran siasatan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette