Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama calon PKR DUN Tanjung Surat, Rosman Tahir beramah mesra bersama penduduk setempat ketika hadir pada Program Ceramah Kelompok sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Felda Adela, Pengerang, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 MAC 2022.

PENGERANG – Sambutan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat terhadap calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rosman Tahir kini dikatakan semakin diterima.

Malah beliau mendakwa partinya sudah berjaya menembusi antara salah satu kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Johor.

Calon PKR itu sendiri mengakui, dulu DUN Tanjung Surat bukan suatu kawasan yang mudah untuk dimasuki PKR tetapi kini pengundinya terutama peneroka Felda sudah pun terbuka pemikirannnya dan mula menerimanya.

“Saya dimaklumkan sebelum ini memang tak lepas bendera PKR untuk tegak berkibar di sini tapi sekarang sudah berjaya dan kami akan teruskan agenda untuk membantu selesaikan permasalahan rakyat-rakyat di sini yang telah lama ditangguh BN.

“Generasi muda di sini pun yang kebanyakannya dari luar yang berhijrah ke sini pemikirannya terbuka dan sudah boleh menerima parti rakyat dan PKR.

“Yang umur 18 tahun atau tidak, semua saya boleh join bersembang. Tak kiralah warga emas ke, budak-budak ke, semua terima saya untuk berbual dengan mereka.

“Saya seorang yang minat sukan, baru-baru ini pun ada kelab pasukan bola sepak disini ajak saya main bola bersama mereka dan turun beri sokongan,” katanya membalas kembali kenyataan calon BN, Aznan Tamin yang menyatakan kempen PH hambar di kawasan itu.

Terdahulu, beliau bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni pengundi dan masyarakat peneroka di Felda Adela.

Rosman sendiri pun mendakwa dirinya bebas kemana-mana untuk mempromosi diri semasa berkempen.

“Kebolehan saya bertutur bahasa Mandarin memudahkan saya capai persefahaman dan berkomunikasi dengan masyarakat Cina untuk mendengar masalah-masalah mereka.

“Buat masyarakat Melayu, saya akan cuba lebih baik lagi untuk menembusi pemikiran mereka yang penuh dengan janji-janji BN sejak dulu lagi” katanya.

Beliau sangat yakin dengan sambutan sangat baik dan peluangnya untuk memenangi DUN Tanjung Surat cerah. –MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast