BATU PAHAT – Anak muda di negeri ini perlu memilih Barisan Nasional (BN) kerana parti itu menawarkan Ikhtiar BN Johor yang lengkap.
Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Mohd Fared Khalid menyifatkan Ikhtiar BN Johor sebagai satu kesungguhan dan kelainan yang ditampilkan oleh BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut beliau, ikhtiar itu juga merupakan bukti suara anak muda didengari selama ini dan seterusnya diterjemahkan dalam bentuk tawaran yang terbaik.
“BN tak pernah lupa anak muda kerana mereka antara kelompok terbesar yang menghadapi PRN Johor kali ini, jadi dengan mengambil kira ikhtiar untuk orang muda, tiada alasan untuk orang muda tidak memilih BN.
“Ikhtiar ini mencakupi bidang keusahawanan, ada 100 juta geran yang bakal diberikan manakala mereka yang berkahwin akan menerima RM1,000 dan kita juga ada bantuan RM500 kepada mahasiswa B40 serta kemudahan rumah transit.
“Ini antara kaedah besar yang kerajaan sebelum ini tidak dapat diberikan kerana ia tidak stabil tapi sekarang kita menjanjikan satu tawaran yang sangat besar dengan syarat beru mandat kepada BN,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Taman Industri Seri Sulung di sini semalam.
Dalam pada itu, Mohd Fared menganggap ia sebagai cabaran besar dalam merampas kerusi DUN Semerah yang dimenangi dengan majoriti tipis oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Namun beliau berkata, perkara itu tidak sesekali melemahkan semangatnya kerana beliau menerima sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada jentera BN.
“Itu penghormatan kepada mereka kerana sudah menang PRU-14 namun ia tidak melemahkan semangat kerana kami rasa bangga dengan ramainya kekuatan jentera dan pengundi asas.
“Itu kekuatan yang kami kena ceritakan dan dengan kaedah itu kami rasa lebih bersemangat untuk meraih lebih banyak undi atas pagar terutama mereka yang belum membuat pilihan,” ujarnya.
DUN Semerah menyaksikan pertembungan lima penjuru di antara Mohd Fared dengan calon Parti Bumiputra Perkasa Malaysia, Kamarolzaman Mohd Jidi; calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Ariss Samsudin; calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mahdzir Ibrahim dan calon yang juga penyandang dari PKR, Mohd Khuzzan Abu Bakar.
Pada PRU-14, Khuzzan menang di kerusi DUN Semerah dengan majoriti tipis 98 undi menewaskan calon BN, Mohd Ismail Roslan dan calon pas, Ustaz Wan. – MalaysiaGazette